TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Anwar jamin permudah proses undi rakyat Malaysia di luar negara sebelum PRU akan datang

By
|
Kongsi
image

MOSCOW 14 Mei - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan bahawa kerajaan akan mengambil langkah sewajarnya bagi memudahkan proses pengundian bagi rakyat Malaysia di luar negara, terutamanya dalam kalangan pelajar, menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Jaminan itu dinyatakan beliau ketika sesi soal jawab pada majlis makan malam bersama diaspora Malaysia di Moscow, malam tadi, dengan menjelaskan bahawa isu tersebut telah dibangkitkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Menurut beliau, meskipun SPR merupakan sebuah badan bebas dan kerajaan tidak boleh mencampuri urusan operasinya, beliau tetap menyokong usaha memperluas akses pengundian kepada semua rakyat Malaysia tanpa mengira lokasi.

"Saya telah bangkitkan perkara ini kepada SPR, mengapa kita tidak boleh pastikan setiap warganegara dapat melaksanakan hak mereka walau di mana juga berada," katanya dalam laporan BERNAMA.

Anwar turut menegaskan bahawa kemajuan teknologi seharusnya dimanfaatkan untuk menjadikan proses pilihan raya lebih telus dan mudah diakses.

Beliau memberi contoh penggunaan teknologi pengecaman wajah dan rantaian blok (blockchain) sebagai kaedah untuk mengekalkan integriti sistem pilihan raya.

"Dengan platform canggih yang ada hari ini, proses mesti lebih telus dan kukuh. Teknologi blockchain contohnya, boleh menjejak keseluruhan proses pengundian dari awal hingga akhir dan mengelak penyelewengan," katanya.

Pernyataan itu dibuat sebagai respons kepada soalan daripada Ahmad Hamizan Hadi Ahmad Hakimi, pelajar tahun akhir Universiti Perubatan Kursk, yang menyuarakan kekesalan kerana tidak dapat mengundi dalam PRU lalu, disebabkan jarak yang jauh dari Kedutaan Malaysia di Moscow.

"Rasa rugi kalau kami tidak dapat mengundi," katanya.

Tambah beliau, tiada kemudahan pendaftaran atau pengundian secara dalam talian disebabkan sekatan akses internet dan platform digital di Rusia.

Anwar turut mengakui kebimbangan tersebut sebagai perkara sah yang perlu diberi perhatian, terutama bagi memastikan golongan muda di luar negara tidak diketepikan daripada proses demokrasi negara.

"Kita akan pastikan sebelum PRU akan datang, satu proses diwujudkan untuk memudahkan pengundian.

"Jika tidak, berjuta-juta anak muda kita di luar negara boleh hilang hak untuk mengundi.

"Secara teknikal, mereka masih boleh mengundi dengan pergi ke kedutaan, tetapi proses itu tidak sepatutnya membebankan," katanya.

Majlis makan malam itu turut dihadiri lebih 100 rakyat Malaysia termasuk pelajar dan kakitangan kedutaan. Hadir sama lima orang menteri pengiring termasuk Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

+ - reset