TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Baca buku secara berkumpulan di Dataran Merdeka pun tetap perlu mohon kelulusan - DBKL

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 14 Mei – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menegaskan bahawa sebarang aktiviti, termasuk yang bersifat ilmiah seperti diskusi buku dan seni jalanan, tetap memerlukan kelulusan rasmi sebelum boleh dijalankan di kawasan ikonik Dataran Merdeka.

Penegasan itu dibuat susulan dakwaan bahawa aktiviti majlis bacaan buku yang dianjurkan secara santai telah diganggu oleh pihak berkuasa baru-baru ini.

Dalam satu kenyataan, DBKL menjelaskan bahawa keperluan mendapatkan kebenaran bukan bertujuan menyekat sebarang penganjuran program bermanfaat, sebaliknya untuk memastikan pematuhan terhadap peraturan sedia ada, khususnya yang melibatkan aspek kebersihan, keselamatan dan ketenteraman awam.

“DBKL mengalu-alukan usaha anak muda serta masyarakat yang ingin menganjurkan aktiviti berasaskan ilmu, pembacaan dan seni jalanan yang mendidik dan membina masyarakat celik ilmu.

“Namun, pihak penganjur perlu berhubung dengan DBKL bagi mendapatkan panduan atau kelulusan yang sesuai bagi mengelak salah faham dan memastikan kelancaran program,” katanya.

DBKL turut menekankan bahawa permohonan awal penting agar petugas di lapangan maklum mengenai sebarang aktiviti yang berlangsung, sekali gus mengelakkan sebarang kekeliruan ketika pemantauan rutin.

“Ini penting memandangkan Dataran Merdeka merupakan kawasan ikonik tumpuan pelancong dan sering digunakan untuk acara rasmi serta peringatan sejarah,” katanya.

Tambah DBKL, penggunaan ruang awam seperti Dataran Merdeka tertakluk kepada peraturan yang ditetapkan di bawah bidang kuasa pihak berkuasa tempatan itu sebagai pentadbir bandar raya Kuala Lumpur.

Selain itu, DBKL turut mengingatkan bahawa sebarang aktiviti berbentuk perhimpunan awam memerlukan kelulusan pihak polis, selaras dengan Seksyen 63 Akta Kerajaan Tempatan 1976.

Sebelum ini, Federasi Pemuda Kebangsaan Malaysia dilaporkan mendakwa bahawa aktiviti santai mereka yang dinamakan ‘Diskusi dan Buku Jalanan’ telah diganggu oleh penguat kuasa DBKL dan polis semasa dijalankan di Dataran Merdeka pada Sabtu lalu.

Kumpulan itu memaklumkan bahawa kira-kira lapan hingga 10 anggota penguat kuasa hadir ke lokasi – tiga daripadanya memakai seragam DBKL, manakala yang lain berpakaian preman – dan mempersoalkan sama ada mereka telah memaklumkan kepada Ketua Polis Daerah. Mereka kemudian diarahkan untuk bersurai.

Menurut mereka, membaca dan berdiskusi secara aman di ruang awam tidak sepatutnya dianggap satu kesalahan.

+ - reset