TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Nelayan maut dipanah petir ketika pukat udang di Kuala Sungai Padang

By
|
Kongsi
image

 

 

KANGAR, 16 Mei – Seorang nelayan maut selepas dipercayai terkena panahan petir ketika sedang memukat udang di pesisiran Pantai Kuala Sungai Padang, Simpang Empat, malam tadi.

Mangsa, Muhamad Faiez Othman, 28, disahkan meninggal dunia selepas mengalami pendarahan di telinga kiri serta luka melecur di paha kanan, akibat terkena sambaran kilat dalam kejadian kira-kira jam 9.50 malam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Baeyah Abdul Wahab, berkata mangsa bersama seorang awak-awak berlepas dari Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kuala Sanglang sekitar jam 7 malam untuk memukat udang.

“Pada kira-kira pukul 9.50 malam, kawasan itu dilanda hujan dengan kilat sambar menyambar menyebabkan mangsa mengambil keputusan untuk pulang semula ke jeti.
Ketika dalam perjalanan menghala ke jeti, tiba-tiba kilat menyambar di sekitar kawasan bot menyebabkan mangsa rebah dalam keadaan terlentang,” katanya.

Menurut Baeyah, awak-awak berkenaan segera mematikan enjin bot dan mendekati mangsa yang didapati tidak bergerak.

“Dia terus memanggil rakan-rakan nelayan yang berada di sekitar kawasan tersebut dan menghubungi abang mangsa yang berada di daratan untuk meminta bantuan,” ujarnya.

Mangsa kemudian dibawa ke Jabatan Kecemasan Hospital Tuanku Fauziah (HTF) menggunakan ambulans dari Klinik Kesihatan Kuala Sanglang, namun disahkan telah meninggal dunia sebaik tiba di hospital.

Pemeriksaan lanjut mendapati terdapat kesan pendarahan dari telinga kiri dan kesan lecur di paha kanan, dipercayai akibat sambaran kilat.

Kejadian tersebut menambah kepada senarai insiden berkaitan cuaca buruk yang menimpa golongan nelayan dan orang awam sejak kebelakangan ini.

+ - reset