Berita Politik
Nurul Izzah teguh dengan pendirian tidak mahu berdebat, fokus temui akar umbi

BUKIT MERTAJAM 19 Mei - Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar menegaskan pendiriannya untuk tidak berdebat dengan penyandang Timbalan Presiden, Datuk Seri Rafizi Ramli menjelang pemilihan parti meskipun terdapat desakan agar beliau mempertimbangkan semula keputusan tersebut.
Bercakap dalam Program Temu Rapat Akar Umbi Zon Utara malam tadi, Nurul Izzah yang juga calon bagi jawatan Timbalan Presiden berkata beliau memilih untuk memberi tumpuan kepada usaha menyantuni perwakilan dan mendekati akar umbi parti.
"Saya mahu terus fokus kepada perwakilan dan bahagian. Ini masa untuk kita memperkukuh hubungan, bukan berkonfrontasi. Masih ada lima hari sebelum pemilihan berlangsung dan saya mahu manfaatkannya sebaik mungkin," katanya kepada media.
Turut hadir dalam program tersebut ialah Ketua Wanita PKR yang juga Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, serta Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Pulau Pinang, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid.
Fokus Sebenar: PRU dan PRN Sabah
Mengulas lanjut, Nurul Izzah yang juga Pengerusi MPN Pulau Pinang menekankan bahawa tumpuan sebenar bukanlah pada perebutan jawatan dalam parti, sebaliknya persiapan menghadapi pilihan raya akan datang.
"Contohnya di Sabah baru-baru ini, perbincangan kami lebih tertumpu kepada kesiapsiagaan menghadapi PRN, bukan soal pemilihan parti. Kita perlu pastikan parti bersatu dan bersedia mendepani cabaran yang lebih besar," jelas beliau.
Menurutnya, sejarah telah membuktikan bahawa pemilihan parti boleh mencetuskan perpecahan sekiranya tidak ditangani dengan penuh hikmah.
"Saya tidak mahu kita hilang arah dalam pertandingan ini. Ia bukan tentang individu, tetapi tentang misi dan nilai perjuangan kita bersama," katanya lagi.
Jawapan Terhadap Isu Nepotisme
Mengulas dakwaan nepotisme yang terus membayangi pencalonannya, Nurul Izzah menyerahkan sepenuhnya kepada kebijaksanaan perwakilan untuk menilai sumbangannya terhadap parti dan masyarakat.
"Saya hanya mahu menyumbang semampu mungkin. Tidak semua orang tahu, saya sendiri pernah berbeza pandangan dengan ayah saya dalam beberapa pemilihan lalu. Malah saya pernah digelar 'rebel'. Tapi semua itu bukan hal peribadi. Kita perlu berpegang pada prinsip," ujarnya merujuk kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang juga Presiden PKR.
Satu Lawan Satu di Pemilihan PKR
Pemilihan kali ini menyaksikan pertandingan satu lawan satu bagi jawatan Timbalan Presiden antara Nurul Izzah dan Rafizi Ramli. Kongres Nasional PKR dijadual berlangsung dari 21 hingga 24 Mei di Johor Bahru, dengan hari pengundian ditetapkan pada 23 Mei. - Media Telus
Berita berkaitan
July 31, 2025, 9:24 pm
Pelantikan Pengerusi MPN Pulau Pinang isyarat KEADILAN mantapkan strategi hadapi PRU16
July 30, 2025, 1:39 pm
Pas nafi spekulasi pertukaran jawatan presiden, Abdul Hadi kekal jawatan tertinggi parti
July 30, 2025, 9:32 am
'DAP patut minta maaf, jangan salahkan rakyat tuntut janji' - MCA
July 29, 2025, 6:47 pm
BN–PH ‘dikunci’ hadapi PRN Sabah – Zahid
July 27, 2025, 1:20 pm
Himpunan 'Turun Anwar' gagal, pembangkang main gimik politik lapuk - AMK Klang
July 18, 2025, 10:40 am
Amanah dalam kepimpinan bukan medan mencari pengaruh – Abdul Hadi
July 14, 2025, 12:29 pm