Berita Berita
Hati-hati, scammer makin ligat sebar pautan palsu STR sehingga 44,000 serangan setiap hari

KUALA LUMPUR 19 Mei – Sindiket penipuan siber dikesan semakin agresif mengambil kesempatan terhadap orang ramai dengan menyebarkan mesej palsu berkaitan pengagihan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) 2025, khususnya menjelang pembayaran fasa pertama bantuan itu.
Laporan terbaharu daripada Rangkaian Keselamatan Kaspersky (KSN) mendedahkan, sebanyak 4.01 juta ancaman siber berasaskan internet direkodkan di Malaysia sepanjang Januari hingga Mac tahun ini – bersamaan kira-kira 44,000 serangan setiap hari.
Antara taktik utama yang digunakan sindiket ialah menghantar mesej tular melalui WhatsApp dan Telegram, kononnya memaklumkan bahawa bayaran STR Fasa 1 telah dikreditkan ke dalam akaun penerima.
“Pesanan tersebut biasanya menggunakan bahasa Melayu dan Cina, lengkap dengan logo serta imej menyerupai portal rasmi kerajaan bagi meyakinkan mangsa.
“Sekali pautan palsu itu diklik, ia boleh mencuri data peribadi pengguna, mengganggu sistem mesej, menceroboh akaun atau menyebabkan mangsa kehilangan akses ke akaun mereka,” menurut laporan KSN.
Pengarah Urusan Asia Pasifik Kaspersky, Adrian Hia berkata, penjenayah siber kini semakin licik memanipulasi kepercayaan masyarakat terhadap maklumat berkaitan bantuan kewangan.
“Mereka tahu orang ramai menantikan pembayaran bantuan, lalu mencipta mesej yang kelihatan sahih lengkap dengan logo rasmi dan jadual pembayaran, menyebabkan ramai yang terpedaya.
“Hanya satu klik boleh menyebabkan pengguna terdedah kepada risiko kebocoran maklumat atau kehilangan akses kepada akaun peribadi mereka,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching turut mengingatkan orang ramai agar hanya merujuk kepada laman web rasmi kerajaan yang berakhir dengan domain ‘.gov.my’ bagi mendapatkan maklumat berkaitan STR.
Sebagai langkah pencegahan, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) juga telah mengharamkan penggunaan pautan dalam mesej SMS sejak 1 September 2024, sebagai usaha mengekang penipuan siber yang semakin berleluasa.
Orang ramai dinasihatkan untuk berwaspada dan tidak mudah percaya terhadap mesej tidak rasmi berkaitan bantuan kerajaan.
Berita berkaitan
May 19, 2025, 8:09 pm
Kes abang belon: Bapa 5 anak didenda RM6,000 ugut, hasut penguat kuasa DBKL
May 19, 2025, 7:43 pm
Lelaki berselisih ajal dipanah petir ketika tutup pintu kereta di Jasin
May 19, 2025, 7:17 pm
Amalan 'cash is king' akan kembali jika Najib jadi PM lagi - Tun M
May 19, 2025, 4:38 pm
6 lebuh raya dan 25 jalan utama ditutup sementera sempena Sidang Kemuncak ASEAN
May 19, 2025, 4:31 pm
Kementerian Pertahanan siasat dakwaan cermin tingkap pecah akibat latihan udara LIMA’25
May 19, 2025, 4:20 pm
Pempengaruh media sosial mengaku bersalah ceroboh rumah di Nilai
May 19, 2025, 3:48 pm