TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Lori terbalik, muatan kayu hempap kereta di Kajang

By
|
Kongsi
image

KAJANG 19 Mei - Sebuah lori yang membawa muatan kayu dipercayai hilang kawalan sebelum terbalik dan menyebabkan muatannya menghempap sebuah kereta dalam kejadian yang berlaku di Jalan Bangi Lama, di sini, pada Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof memaklumkan kemalangan berlaku sekitar jam 4.15 petang apabila pemandu lori berusia 34 tahun gagal mengawal kenderaannya ketika melalui selekoh tajam.

Kenderaan berat itu telah memasuki laluan bertentangan sebelum terbalik dan mengakibatkan muatan kayu jatuh lalu menghempap sebuah kereta jenis Proton Saga yang dipandu oleh seorang wanita berusia 22 tahun.

Bagaimanapun, kedua-dua individu terlibat dalam insiden tersebut tidak mengalami sebarang kecederaan.

Naazron berkata, kedua-dua pihak tampil membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang keesokan harinya.

Pemandu lori telah dikenakan saman, dan kes kini disiasat di bawah Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (LN 166/59) kerana gagal mengawal kenderaan sehingga menyebabkan kemalangan.

Sebelum ini, sebuah rakaman video dashcam tular di media sosial memaparkan detik cemas sewaktu kemalangan berlaku. Dalam video berkenaan, lori kelihatan gagal dikawal sewaktu menuruni selekoh sebelum muatan kayu terjatuh dan menimpa kereta mangsa. Kedengaran suara wanita menjerit dan meraung akibat impak kejadian.

Polis menasihatkan pemandu lori komersial agar lebih berhati-hati, terutama ketika melalui jalan berselekoh dan membawa muatan berat bagi mengelakkan insiden yang boleh membahayakan pengguna jalan raya lain. - Media Telus

+ - reset