TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Politik

Fadhlina tolak debat, fokus perkukuh parti dan suara akar umbi

By
|
Kongsi
image

SEREMBAN 20 Mei - Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR), Fadhlina Sidek menolak pelawaan debat yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail, sempena Pemilihan PKR 2025.

Menurut Fadhlina, yang juga Menteri Pendidikan dan Ahli Parlimen Nibong Tebal, tiada keperluan untuk mengadakan debat kerana tumpuan utama ketika ini adalah memperkukuhkan parti serta memberi sokongan penuh kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Jawapan saya sama seperti Nurul Izzah Anwar, tidak ada keperluan (untuk berdebat). Sekarang ini fokus kami adalah memperkukuhkan parti. Semua seruan yang kita bawa bersama adalah untuk terus memberi kekuatan dan kesatuan kepada parti serta menyokong presiden kita,” katanya dalam satu sidang media selepas program Temu Rapat Akar Umbi Negeri Sembilan/Melaka yang diadakan di Klana Resort, Seremban.

Sebelum ini, Rodziah Ismail yang merupakan calon Timbalan Ketua Wanita PKR menyuarakan pelawaan debat tersebut ketika berucap dalam program Jelajah Hidupkan Idealisme Reformasi dalam Ujian Kuasa (HIRUK) di Kota Bharu, Kelantan, pada 16 Mei lalu. Dalam ucapannya, beliau mencadangkan debat berkenaan masa depan wanita serta strategi meningkatkan penyertaan Ahli Parlimen wanita dalam PKR.

Untuk rekod, ini merupakan pertembungan kali kedua antara Rodziah dan Fadhlina bagi jawatan yang sama. Pada pemilihan parti tahun 2022, Fadhlina menang tipis dengan majoriti 32 undi – memperoleh 18,923 undi berbanding 18,891 yang diperoleh Rodziah.

Fadhlina mengakui bahawa debat adalah sesuatu yang baik sekiranya ia dijalankan dalam konteks membincangkan isu dasar dengan suasana yang kondusif dan berasaskan kefahaman yang matang, bukan atas dasar ketaksuban.

Namun, beliau menegaskan bahawa ketika ini, keutamaan adalah terhadap kepentingan parti, terutamanya dalam aspek kesepaduan dan kekuatan dalaman, dan bukannya berdebat secara terbuka.

“Debat bukan keutamaan ketika ini. Kita mahu tumpu kepada akar umbi, berikan mereka keyakinan bahawa pemilihan kali ini adalah soal menentukan pimpinan yang benar-benar mampu membawa suara mereka ke peringkat lebih tinggi, sekali gus memperkukuh parti,” jelasnya.

Dalam pada itu, Fadhlina turut berkongsi visi dan komitmennya untuk terus memperkasakan PKR, dengan meletakkan sasaran pembabitan wanita dan anak muda sekurang-kurangnya 40 peratus dalam kepimpinan serta gerak kerja parti.

Beliau memaklumkan bahawa beliau dan Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar telah mengadakan beberapa perbincangan serta membentangkan sebahagian agenda ke arah memastikan kesinambungan perjuangan parti dalam kerangka reformasi yang diperjuangkan.

“Nurul Izzah bentangkan bahawa kita menyasarkan penglibatan wanita dan anak muda sebanyak 40 peratus dalam PKR. Saya fikir ini satu gabungan inklusif dan penting untuk negara. Kita perlukan wajah politik baharu untuk meneruskan peranan Keadilan dalam masyarakat,” katanya. - Media Telus

+ - reset