TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

SPRM fokus perolehan, penguatkuasaan dan rasuah besar tahun ini

By
|
Kongsi
image

SHAH ALAM 20 Mei - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberi tumpuan kepada tiga bidang utama yang dikenal pasti paling berisiko tinggi untuk tahun ini, iaitu perolehan kerajaan, penguatkuasaan dan rasuah berskala besar atau grand corruption.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki menyatakan bahawa pihaknya akan menggandakan komitmen untuk membanteras ketirisan dalam sistem perolehan, memastikan dana awam sampai kepada golongan yang sepatutnya serta mengekang aktiviti kartel projek yang menjejaskan integriti dan ketelusan pentadbiran negara.

Beliau menzahirkan rasa kesal terhadap situasi di mana peruntukan kerajaan yang diperuntukkan bagi menjamin kelestarian penyampaian perkhidmatan kepada rakyat telah disalahgunakan. Menurutnya, laporan Ketua Audit Negara saban tahun terus mendedahkan kelemahan kawalan kewangan dalam agensi kerajaan yang menyumbang kepada ketirisan perbelanjaan, pelaburan tanpa impak, serta pembayaran yang tidak disokong oleh asas kontrak yang kukuh.

Tambahnya lagi, siasatan SPRM turut membongkar taktik manipulasi akaun dan kewangan oleh beberapa syarikat secara licik, namun aktiviti itu sering kali tidak dapat dikesan oleh firma pengauditan luar. Lebih membimbangkan, semakan dalaman yang berjaya mengenal pasti penyelewengan tersebut kadangkala tidak dilaporkan atas sebab ketiadaan keupayaan atau keberanian untuk bertindak.

SPRM turut menekankan peranan Laporan Ketua Audit Negara yang dijadikan rujukan penting, selain keterlibatan aktif dalam Jawatankuasa Tindakan Laporan Ketua Audit Negara dan mesyuarat bersama pelbagai agensi penguat kuasa dan agensi pusat.

Selain itu, tumpuan juga diberikan kepada projek-projek terbengkalai dan projek sakit yang memberi kesan besar kepada kedudukan kewangan negara. Azam menegaskan perlunya kerjasama lebih erat antara semua agensi penguat kuasa kerana tindakan yang bersendirian tidak lagi mencukupi untuk menangani jenayah kewangan yang semakin kompleks.

Menurut beliau, penyelarasan usaha dalam membanteras jenayah kewangan kini dilakukan melalui Kumpulan Kerja Fraud Perakaunan (KKFP), sebuah inisiatif kolaboratif melibatkan tujuh agensi utama termasuk SPRM, Jabatan Audit Negara, Jabatan Akauntan Negara Malaysia, LHDN, Suruhanjaya Syarikat Malaysia, UiTM dan Institut Akauntan Malaysia (MIA). KKFP berfungsi sebagai platform strategik untuk menyelaraskan tindakan rentas agensi dalam membanteras penipuan perakaunan secara menyeluruh dan berkesan. - Media Telus

+ - reset