TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

TMJ tegas pengaruh baginda akan terus berkembang

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 20 Mei - Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail menegaskan bahawa pengaruh baginda dalam pelbagai bidang termasuk bola sepak dan politik bukan sesuatu yang boleh dihapuskan, sebaliknya akan terus berkembang sebagai sebahagian daripada ekosistem sedia ada.

Menerusi satu kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook rasmi baginda, Tunku Mahkota Ismail menolak pelbagai dakwaan serta spekulasi yang mengaitkan dirinya dengan isu semasa termasuk insiden konsert, urusan Bazar Ramadan dan serangan terhadap pemain bola sepak kebangsaan, Faisal Halim.

Dalam nada sinis, baginda menyangkal tuduhan bahawa gerai-gerai di Bazar Ramadan Johor adalah milik baginda, dengan bertanya secara retorik sama ada wajah baginda kelihatan seperti seseorang yang mencari keuntungan melalui perniagaan gerai bazar.

Baginda turut membidas cubaan untuk mengaitkan dirinya dengan insiden pergaduhan di sebuah konsert punk tempatan, menyifatkannya sebagai sesuatu yang tidak masuk akal. “Adakah muka saya kelihatan seperti orang yang habiskan masa dengan ‘headbanging’ di gig punk underground?” soal baginda secara sarkastik.

Dalam pada itu, mengulas isu berkaitan Faisal Halim, Tunku Mahkota Ismail menyifatkan tuduhan yang cuba mengaitkan dirinya sebagai satu tindakan pengecut. Menurut baginda, sebagai seorang askar, sekiranya beliau ingin menyampaikan sesuatu atau mengambil tindakan, ia tidak akan dilakukan secara bersembunyi.

Baginda menegaskan bahawa isu utama bukanlah tentang apa yang telah dilakukan, tetapi lebih kepada kebolehan baginda untuk melakukannya, sesuatu yang dipercayai menyebabkan rasa tidak senang dalam kalangan pihak tertentu.

"Pengaruh, dalam kedudukan saya, bukan satu pilihan, ia satu ketetapan. Dan semakin masa berlalu, semakin ia bertambah kuat," titah baginda dengan tegas.

Mengakhiri kenyataan itu, Tunku Mahkota Ismail memberi peringatan tegas bahawa baginda tidak akan berundur atau menghilang, sebaliknya akan terus berkhidmat dan memartabatkan negeri Johor.

“Belajarlah untuk terima atau cubalah habiskan saya terus. Sebab saya tidak akan ke mana-mana. Saya di sini untuk berkhidmat kepada negeri saya dan memartabatkannya,” titah baginda mengakhiri kenyataan tersebut. - Media Telus

+ - reset