TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Selangor arah PBT rampas iklan vape, pertimbang larangan penjualan

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 20 Mei - Semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor telah diarahkan untuk mengambil tindakan segera bagi merampas dan menyita sebarang bentuk iklan berkaitan produk rokok elektronik (vape), sama ada melalui medium pengiklanan fizikal mahupun digital.

Arahan itu diumumkan Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Selangor, Jamaliah Jamaluddin, susulan penguatkuasaan Akta Kawalan Produk Merokok untuk Kesihatan Awam 2023 (Akta 852) yang melarang sebarang bentuk pengiklanan, promosi dan penajaan produk merokok elektronik.

“Kerajaan Negeri Selangor ingin memastikan setiap dasar yang diperkenalkan mengambil kira impak terhadap kesihatan awam dan generasi akan datang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau turut menekankan keperluan kepada peranan aktif pelbagai pihak termasuk ibu bapa, institusi pendidikan, masyarakat sivil dan agensi-agensi kerajaan dalam memastikan keberkesanan tindakan yang diambil.

Menurut Jamaliah, kerajaan negeri komited melindungi kesihatan awam, khususnya generasi muda, daripada ancaman vape yang kini semakin membimbangkan.

Katanya, satu mesyuarat penyelarasan telah diadakan baru-baru ini bagi membincangkan kemungkinan melaksanakan pengharaman penjualan vape di Selangor. Mesyuarat itu dipengerusikan olehnya dan turut disertai Pengarah Kesihatan Negeri Selangor, Dr. Ummi Kalthom Shamsuddin, wakil Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), wakil-wakil PBT dan pegawai-pegawai Pejabat Kesihatan Daerah (PKD).

“Mereka meneliti pelbagai isu berkaitan penggunaan dan penjualan vape termasuk cabaran penguatkuasaan, pelesenan, aspek perundangan serta pemantauan,” katanya.

Jamaliah turut memaklumkan bahawa penjualan produk vape secara dalam talian merupakan satu cabaran besar kerana sukar dikawal dan kerap menjadi saluran utama golongan remaja mendapatkan akses kepada produk berkenaan.

Kerajaan Negeri Selangor, tambah beliau, sedang mempertimbangkan semua aspek yang relevan sebelum membuat keputusan mengenai pengharaman penjualan vape, dengan mengambil kira kesihatan awam sebagai keutamaan utama. - Media Telus

+ - reset