Berita Politik
Rafizi: “Mulut longkang” inilah dedah skandal dulu, mengapa sekarang tak boleh bersuara?

JOHOR BAHRU 21 Mei - Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Rafizi Ramli mempertahankan kelantangannya dalam menyuarakan pandangan terhadap isu dalaman parti dan kerajaan, sambil menegaskan bahawa pendekatan tegasnya bukan perkara baharu dalam politik.
Berucap dalam siri Jelajah Hiruk di sini malam Selasa, Rafizi menolak kritikan segelintir pihak yang tidak senang dengan gaya penyampaian terbukanya, dengan menyatakan bahawa kelantangannya sebelum ini telah berjaya membongkar pelbagai skandal besar negara.
“Jangan lupa, masa saya jadi pembangkang dengan ‘mulut longkang’ inilah yang dedahkan skandal demi skandal,” tegas beliau disambut sorakan hadirin.
Rafizi berkata, pendekatan kritis perlu diteruskan meskipun terhadap kepimpinan sendiri demi memastikan integriti perjuangan kekal terpelihara.
“Bagus pula masa kita dedah kelemahan kerajaan dulu semua sokong, tapi bila kita bincang kelemahan sendiri, tiba-tiba suara kena kawal. Tak boleh dah bercakap. Macam itu kah?” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa tugas seorang pemimpin politik adalah untuk melawan ketidakadilan dan menegur kelemahan — tanpa mengira siapa yang terlibat.
Menyentuh respons penyokong, Rafizi berkongsi mesej peribadi yang diterimanya, termasuk kiriman gambar dirinya berbaju lokap semasa kes National Feedlot Corporation (NFC), yang disertai dengan mesej sokongan dan penghargaan terhadap keberaniannya.
“Saya baca mesej macam itu... kadang-kadang terdiam juga,” ujarnya, penuh emosi.
Sebagai penutup, Rafizi menyeru agar budaya politik yang matang dan berani ditegur terus dipupuk dalam PKR demi menjamin kelangsungan reformasi dan keyakinan rakyat terhadap parti. - Media Telus
Berita berkaitan
July 31, 2025, 9:24 pm
Pelantikan Pengerusi MPN Pulau Pinang isyarat KEADILAN mantapkan strategi hadapi PRU16
July 30, 2025, 1:39 pm
Pas nafi spekulasi pertukaran jawatan presiden, Abdul Hadi kekal jawatan tertinggi parti
July 30, 2025, 9:32 am
'DAP patut minta maaf, jangan salahkan rakyat tuntut janji' - MCA
July 29, 2025, 6:47 pm
BN–PH ‘dikunci’ hadapi PRN Sabah – Zahid
July 27, 2025, 1:20 pm
Himpunan 'Turun Anwar' gagal, pembangkang main gimik politik lapuk - AMK Klang
July 18, 2025, 10:40 am
Amanah dalam kepimpinan bukan medan mencari pengaruh – Abdul Hadi
July 14, 2025, 12:29 pm