TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Politik

Akmal Nasrullah nekad bertanding MPP PKR demi solidariti

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 21 Mei - Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, nekad menawarkan diri untuk bertanding dalam pemilihan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebagai tanda solidariti terhadap rakan-rakannya yang didakwa menjadi mangsa ketidakadilan dalam pemilihan parti di peringkat cabang.

Menurutnya, keputusan itu diambil setelah melihat ramai ahli di cabang lain turut mengalami nasib serupa, selain menzahirkan kebimbangan terhadap usaha yang didakwa sistematik untuk menyingkirkan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli.

Beliau mendedahkan perkara itu menerusi satu kenyataan di Facebook pada Rabu, dengan menyatakan bahawa beliau hampir tawar hati untuk terus bertanding selepas kekalahan di peringkat cabang.

Pada April lalu, Akmal gagal mempertahankan jawatan Ketua Cabang PKR Johor Bahru apabila tewas kepada Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Johor, Mohamad Taufiq Ismail. Berdasarkan keputusan rasmi Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP), Akmal meraih 587 undi, manakala Mohamad Taufiq memperoleh 709 undi.

Akmal turut menyentuh peranan Rafizi dalam mengembalikan semula keyakinan rakyat kepada PKR dan Pakatan Harapan (PH), khususnya di Johor selepas apa yang disifatkannya sebagai kelesuan politik ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) sebelum ini.

Katanya, kembalinya Rafizi dalam kepimpinan parti berjaya memikat semula pengundi atas pagar, sekali gus menyemarakkan semula sokongan terhadap PH di negeri tersebut.

Menurut beliau lagi, rakyat akan terus menjadi penilai utama kepada setiap kepimpinan dalam parti. Beliau memberi peringatan bahawa sama ada PKR mampu melepasi ujian kuasa atau dihukum oleh rakyat akan bergantung kepada kesungguhan pemimpin menghindari habuan serta tekanan politik. - Media Telus

+ - reset