TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

SPRM cadang lucut hak aset RM2 bilion tidak diisytihar milik Allahyarham Tun Daim

By
|
Kongsi
image

 

 

PUTRAJAYA 23 Mei – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang mempertimbangkan untuk melucut hak aset bernilai lebih RM2 bilion yang dipercayai tidak diisytiharkan oleh bekas Menteri Kewangan, Allahyarham Tun Daim Zainuddin.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, lapan kertas siasatan telah dibuka berdasarkan maklumat baharu yang diterima daripada agensi luar negara berkaitan pemilikan aset oleh Daim, keluarga dan proksi beliau.

"Jadi maklumat terbaharu menunjukkan pemilikan aset arwah Tun Daim, keluarganya dan sekutunya tidak diisytiharkan kepada kami (SPRM) semasa siasatan yang kita jalankan pada 2023.

"Aset berkenaan sekiranya benar tidak diisytiharkan dan adalah satu kesalahan di bawah akta kami (Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009), walaupun dengan ketiadaan Tun Daim lagi kita akan mencadangkan untuk dilucut hak kepada kerajaan.

"Ia terpulang kepada Timbalan Pendakwa Raya sama ada bersetuju atau tidak tetapi kita ke arah itu sebenarnya," katanya dalam sidang media semalam.

Menurut Azam, SPRM kini berhubung dengan pihak berkuasa luar termasuk di Switzerland dan United Kingdom bagi mengumpul bukti berkaitan pemilikan aset tersebut.

Ketika ditanya sama ada Menara Ilham termasuk dalam aset yang disiasat, beliau menjawab: "Anda teka sendiri, tapi saya boleh katakan banyak aset, mencecah hingga RM2 bilion."

Tambahnya lagi, siasatan kini berada di fasa melengkapkan kertas siasatan dengan proses merekod keterangan saksi sedang berlangsung.

"Jadi, dalam kes ini saya telah memberi tempoh lebih kurang dua bulan kepada pegawai penyiasat untuk menyiapkan siasatan," katanya.

+ - reset