TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Ibu kongsi detik cemas anak tercekik belon ketika majlis hari lahir

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 23 Mei - Apa yang sepatutnya menjadi momen gembira bertukar menjadi detik mencemaskan buat sebuah keluarga apabila seorang kanak-kanak hampir maut akibat tercekik belon ketika sambutan hari lahirnya.

Dalam satu perkongsian menyayat hati di Facebook, Nurul Huda Zulkhairi menceritakan bagaimana anak lelakinya, Uwais Al-Fateh, hampir kehilangan nyawa selepas sebiji belon yang belum ditiup tersekat di saluran pernafasan hingga menyebabkan jantungnya terhenti buat seketika.

Menurutnya, insiden itu berlaku ketika dia dan suami sedang melayani tetamu manakala Uwais bermain bersama rakan-rakannya di dalam rumah.

“Sebelum kejadian, Uwais sempat duduk minum air di meja saya, kemudian sambung bermain. Tiba-tiba adik ipar saya beritahu Uwais nampak macam semput. Suami saya ambil pam asma sebab Uwais memang ada sejarah asma,” katanya.

Namun keadaan menjadi cemas apabila seorang lagi ahli keluarga datang mendukung Uwais yang sudah bertukar kebiruan. Uwais tidak sedarkan diri dan denyutan jantungnya dikatakan sudah terhenti.

“Suami dan rakannya cuba buat CPR kerana mereka ingat dia tersedak makanan. Tapi usaha itu tidak berjaya, jadi mereka terus bergegas ke hospital,” jelas Nurul Huda.

Setibanya di hospital, doktor yang sedang menjalankan prosedur intubasi menemui belon tersekat di saluran pernafasan kanak-kanak tersebut.

“Doktor segera keluarkan belon dan teruskan CPR. Alhamdulillah, nyawa anak saya dipulangkan semula oleh Allah SWT!” katanya dalam nada penuh syukur.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pasukan Unit Kecemasan Hospital Kulim dan Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU) Hospital Sultanah Bahiyah yang pantas dan cekap memberikan rawatan kecemasan.

Uwais kini dilaporkan stabil dengan tekanan darah, kadar nadi dan paras oksigen yang baik. Namun, beliau masih menerima bantuan pernafasan dan dua beg darah tambahan akibat kesan pendarahan pada paru-paru, dipercayai akibat CPR yang dijalankan.“Kami masih dalam fasa merehatkan otak Uwais. Mohon doa semua agar dia terus kuat dan pulih sepenuhnya,” kata Nurul Huda.

Insiden ini menjadi peringatan kepada semua ibu bapa agar sentiasa berhati-hati dan memantau aktiviti anak kecil, khususnya ketika mereka bermain dengan objek kecil seperti belon yang boleh menjadi bahaya jika tidak diawasi. — Media Telus

 

+ - reset