TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

13 bas pekerja disita JPJ Pulau Pinang, pemandu tiada lesen, kenderaan tiada insurans

By
|
Kongsi
image

BUTTERWORTH 23 Mei - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang telah menyita sebanyak 13 buah bas pekerja dalam satu operasi khas yang dijalankan selama dua hari di sekitar Seberang Perai bermula kelmarin.

Menurut kenyataan rasmi JPJ negeri yang dimuat naik menerusi Facebook, kesemua bas berkenaan disita selepas didapati beroperasi tanpa cukai jalan dan perlindungan insurans yang sah. Lebih membimbangkan, beberapa pemandu juga didapati tidak mempunyai lesen memandu yang sah.

JPJ memaklumkan bahawa pelanggaran tersebut bukan sahaja melanggar undang-undang, malah mengundang risiko besar terhadap keselamatan penumpang sekiranya berlaku kemalangan.

Dalam operasi tersebut, penguat kuasa JPJ turut mengesan pelbagai kesalahan lain yang membabitkan pengusaha serta pemandu kenderaan perkhidmatan awam. Antaranya termasuk ketiadaan perakuan pemeriksaan PUSPAKOM dan lesen memandu perkhidmatan awam (PSV), di samping penyalahgunaan Lesen Kenderaan Motor apabila van persendirian digunakan untuk membawa penumpang.

Pemeriksaan teknikal ke atas kenderaan juga mendapati beberapa masalah serius seperti tayar yang terlalu haus, sistem lampu brek dan isyarat yang tidak berfungsi, serta kegagalan menyelenggara kenderaan mengikut piawaian keselamatan.

JPJ menegaskan bahawa operasi sebegini akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan semua pengendali kenderaan awam mematuhi peraturan dan menjadikan keselamatan penumpang sebagai keutamaan. Pihak jabatan turut menggesa orang awam agar tampil menyalurkan maklumat sekiranya mengesyaki sebarang aktiviti pengangkutan yang mencurigakan. — Media Telus

+ - reset