Berita Politik
Rafizi lega akhirnya dapat jadi orang biasa, bebas dari 'drama' politik kelas tinggi

KUALA LUMPUR 25 Mei - Bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Rafizi Ramli mengakui dirinya hampir rasa kecewa dan putus asa selepas tewas dalam pemilihan parti baru-baru ini, namun perasaan itu hanya seketika.
Bagaimanapun, beliau menyatakan rasa lega kerana tidak lagi dibebani tekanan politik, dan kini bebas daripada apa yang disifatkannya sebagai sandiwara kuasa serta politik kelas tinggi.
Rafizi yang juga Menteri Ekonomi berkata, penglibatannya dalam politik, khususnya menerusi PKR, bukan untuk mengejar jawatan atau kekayaan, sebaliknya berlandaskan idealisme perjuangan parti demi manfaat rakyat.
“Saya faham nasib (Datuk Seri) Anwar Ibrahim berkait rapat dengan PKR, namun saya percaya keabsahan PKR di mata rakyat melangkaui Anwar atau mana-mana individu. Pemimpin datang dan pergi, tetapi idealisme tetap kekal."
“Saya kekal dalam PKR selama 27 tahun, lebih lama daripada ramai perintis dan tokoh parti yang lebih kanan, kerana saya percaya PKR baru berlari anak. Walaupun kita telah menyumbang dalam memberi pencerahan dan mematangkan masyarakat Malaysia, kita masih jauh daripada mencapai matlamat yang dijanjikan idealisme itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Rafizi sebelum ini menyatakan komitmen untuk melepaskan jawatan dalam Kabinet sekiranya gagal mempertahankan jawatan nombor dua parti. Pemilihan PKR pada Jumaat menyaksikan Nurul Izzah Anwar menewaskannya dengan majoriti selesa untuk jawatan Timbalan Presiden.
Pun begitu, dua calon pilihan Rafizi – Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang, serta Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun – berjaya mengekalkan kedudukan sebagai Naib Presiden parti.
Mengulas lebih lanjut, Rafizi berkata semangat reformasi yang mendorong beliau menyertai politik sejak awal tetap kekal, dan beliau masih berpegang kepada kepentingan persaingan sihat dalam sistem demokrasi negara.
“Saya percaya rakyat berhak mendapat pasukan terbaik untuk mentadbir negara. Persaingan mengangkat merit dan memaksa ahli politik lebih bertanggungjawab. Ia adalah penawar kepada budaya rasuah yang berleluasa di kalangan ahli politik kerana mereka boleh dihumban dari kuasa."
“Saya mahu melihat sebuah Malaysia yang majmuk dan progresif kerana kita adalah sebuah negara kecil. Masyarakat majmuk membuka fikiran kita untuk bersaing secara sihat."
“Ia membolehkan kita belajar antara satu sama lain supaya kita menggarap budaya kerja terbaik. Ia membina ihsan, kepercayaan dan rasa hormat. Persaingan mempersiapkan kita untuk bersaing di peringkat global,”katanya.
Rafizi menegaskan walaupun tidak lagi berada dalam barisan kepimpinan tertinggi parti, beliau kekal komited terhadap perjuangan PKR dan visi untuk sebuah Malaysia yang lebih adil dan berdaya saing.
Berita berkaitan
May 24, 2025, 5:04 pm
Menang Naib Presiden PKR, Ramanan tekad perjuang semangat reformasi
May 24, 2025, 10:31 am
Sibuk galas tanggungjawab PM, Anwar mohon maaf kurang fokus pengukuhan parti
May 23, 2025, 10:29 pm
Nurul Izzah sah Timbalan Presiden PKR, tewaskan Rafizi dengan beza undi hampir 6,000
May 23, 2025, 9:40 pm
Tidak Rasmi: Nurul Izzah raih sokongan lebih kukuh, jauh tinggalkan Rafizi
May 23, 2025, 5:18 pm
Saya tak pernah draf surat letak jawatan - Rafizi
May 23, 2025, 4:18 pm
BN tidak hadir kongres AMK, Adam Adli sahkan tiada maklum balas jemputan
May 23, 2025, 4:05 pm
Anwar terbuka bincang syor mansuh kuasa presiden lulus pertandingan ahli baharu
May 23, 2025, 10:01 am