Berita Politik
Chang Lih Kang nafi dakwaan tarik sokongan terhadap Anwar

KUALA LUMPUR 29 Mei – Naib Presiden PKR, Chang Lih Kang menafikan dakwaan tular bahawa beliau bersama 10 ahli Parlimen PKR lain telah menarik sokongan terhadap Perdana Menteri yang juga Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Penafian itu susulan pengumuman peletakan jawatan oleh Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli serta Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad semalam.
Dalam hantaran di Facebook, Chang yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi menyifatkan dakwaan itu sebagai mengarut.
“Rafizi dan Nik Nazmi letak jawatan Kabinet untuk menjaga adab dan semangat demokrasi.
“Yang lain tak perlu nak menangguk di air keruh. Noktah,” katanya.
Beliau turut memaparkan tangkap layar mesej tular di WhatsApp yang bertanda ‘palsu’, mendakwa 11 ahli Parlimen PKR akan mengadakan sidang media pada 30 Mei untuk menarik sokongan terhadap Anwar.
Antara nama lain yang disebut termasuk Tan Kar Hing (Gopeng), Akmal Nasrullah Mohd Nasir (Johor Bahru), Wong Chen (Subang), Zahir Hassan (Wangsa Maju), Syed Ibrahim Syed Noh (Ledang), Lee Chean Chung (Petaling Jaya), Onn Abu Bakar (Batu Pahat) dan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun (Port Dickson).
Sementara itu, Tan Kar Hing turut menafikan dakwaan tersebut yang turut ditularkan penulis blog, Wan Muhammad Azri Wan Deris atau Papagomo di Facebook.
Beliau menyifatkannya sebagai fitnah politik yang berniat jahat.
“Pendirian dan idealisme saya dalam perjuangan ini tidak sama sekali berubah walau apa pun keputusan pemilihan parti baru-baru ini.
“Saya sedang mendapat pandangan daripada peguam saya, jika perlu akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Muhammad Azri,” katanya.
Untuk rekod, Rafizi dan Nik Nazmi mengumumkan peletakan jawatan masing-masing berkuat kuasa 17 Jun dan 4 Julai ini, susulan kekalahan dalam pemilihan PKR 2025 yang lalu. – Media Telus
Berita berkaitan
July 31, 2025, 9:24 pm
Pelantikan Pengerusi MPN Pulau Pinang isyarat KEADILAN mantapkan strategi hadapi PRU16
July 30, 2025, 1:39 pm
Pas nafi spekulasi pertukaran jawatan presiden, Abdul Hadi kekal jawatan tertinggi parti
July 30, 2025, 9:32 am
'DAP patut minta maaf, jangan salahkan rakyat tuntut janji' - MCA
July 29, 2025, 6:47 pm
BN–PH ‘dikunci’ hadapi PRN Sabah – Zahid
July 27, 2025, 1:20 pm
Himpunan 'Turun Anwar' gagal, pembangkang main gimik politik lapuk - AMK Klang
July 18, 2025, 10:40 am
Amanah dalam kepimpinan bukan medan mencari pengaruh – Abdul Hadi
July 14, 2025, 12:29 pm