Berita Politik
Kehadiran memberangsangkan akar umbi bukti UMNO masih diyakini

PONTIAN 30 Mei – Kehadiran ahli dalam Persidangan Cawangan UMNO di seluruh negara disifatkan memberangsangkan dan menjadi petunjuk bahawa parti itu sedang bangkit semula selepas melalui pelbagai cabaran sebelum ini.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, maklum balas yang diterima daripada pelbagai bahagian menunjukkan persidangan cawangan mendapat sambutan baik daripada ahli akar umbi.
Timbalan Pengerusi UMNO Johor itu berkata, sokongan padu tersebut turut dipacu oleh keyakinan ahli terhadap kebangkitan semula UMNO selepas mencatat kejayaan dalam lima siri Pilihan Raya Kecil (PRK) terdahulu.
“Kejayaan UMNO mempertahankan kerusi dalam PRK seperti di Tioman, Pelangai, Nenggiri, Mahkota dan Ayer Kuning memberi impak positif kepada semangat ahli akar umbi untuk terus menyokong perjuangan parti.
“Ini petanda UMNO masih kukuh. Kita bukan parti yang hanya bergantung kepada bahagian, sebaliknya berakar daripada lebih 21,000 cawangan yang berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS),” katanya.
Ahmad yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Kolej Vokasional Tanjung Piai, di sini pada Jumaat.
Pada 12 Mac lalu, Mesyuarat Ahli MKT UMNO memutuskan tarikh Persidangan Tahunan UMNO Cawangan diadakan bermula 7 April hingga 25 Mei.
Seterusnya, Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian akan berlangsung dari 9 Jun hingga 27 Julai, manakala Perhimpunan Agung UMNO dijadualkan pada 20 hingga 23 Ogos.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan bahawa mana-mana cawangan yang belum mengadakan persidangan boleh memohon lanjutan tempoh, walaupun tarikh akhir asal ditetapkan pada 25 Mei lalu.
“Kebiasaannya, semasa saya menjadi Setiausaha Agung dahulu, kita beri lanjutan sehingga seminggu untuk membolehkan semua cawangan selesai bermesyuarat,” jelasnya. – Media Telus
Berita berkaitan
July 31, 2025, 9:24 pm
Pelantikan Pengerusi MPN Pulau Pinang isyarat KEADILAN mantapkan strategi hadapi PRU16
July 30, 2025, 1:39 pm
Pas nafi spekulasi pertukaran jawatan presiden, Abdul Hadi kekal jawatan tertinggi parti
July 30, 2025, 9:32 am
'DAP patut minta maaf, jangan salahkan rakyat tuntut janji' - MCA
July 29, 2025, 6:47 pm
BN–PH ‘dikunci’ hadapi PRN Sabah – Zahid
July 27, 2025, 1:20 pm
Himpunan 'Turun Anwar' gagal, pembangkang main gimik politik lapuk - AMK Klang
July 18, 2025, 10:40 am
Amanah dalam kepimpinan bukan medan mencari pengaruh – Abdul Hadi
July 14, 2025, 12:29 pm