TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Politik

Tengku Zafrul umum letak jawatan dalam UMNO, sedia sertai PKR

By
|
Kongsi
image

Oleh AZRUL RADI

KUALA LUMPUR 30 Mei — Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, mengumumkan peletakan jawatan sebagai ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT), Ketua UMNO Bahagian Kota Raja dan ahli UMNO, dalam satu kenyataan rasmi malam ini.

Menurut Tengku Zafrul, keputusan mengejutkan ini dibuat selepas mempertimbangkan secara mendalam dan mendapat nasihat daripada pelbagai pihak termasuk Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

“Keputusan ini bukan sebuah keputusan yang mudah. Sebelum membuat keputusan ini, saya telah meminta nasihat dan pandangan daripada sahabat-sahabat saya dari dalam dan luar parti termasuk daripada Presiden sendiri.

Saya telah mengambil masa yang agak panjang untuk memikirkan keputusan ini secara mendalam, terutamanya kerana UMNO adalah satu-satunya parti politik yang saya pernah sertai, sejak tahun 1997 lagi,” katanya.

Tambah beliau, keputusan ini dibuat setelah bermuhasabah diri dan mengambil kira pelbagai faktor, terutamanya faktor keserasian dan kesesuaian.

Sertai PKR

Tengku Zafrul turut mengumumkan bahawa beliau telah menyatakan hasrat untuk menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) kepada Presiden dan Setiausaha Agung parti tersebut.

“Saya akan mengikuti proses permohonan lazim untuk menjadi ahli PKR,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada rakan-rakan, penyokong dan ahli-ahli UMNO yang telah memberi sokongan sepanjang beliau aktif dalam parti tersebut.

Latar Belakang Politik

Tengku Zafrul, 51, mula menyertai UMNO pada tahun 1997 dan pernah menjawat jawatan Bendahari BN Selangor sebelum meletak jawatan pada 1 April tahun lalu.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 2022, beliau bertanding di kerusi Parlimen Kuala Selangor namun tewas dengan margin tipis, iaitu hanya satu peratus undi.

Sebelum ini, beliau juga pernah berkhidmat sebagai Menteri Kewangan dari Mac 2020 hingga Oktober 2022.

Dengan perkembangan ini, dunia politik tanah air sekali lagi menyaksikan perubahan penting yang bakal memberi impak besar kepada landskap politik Malaysia. - Media Telus

+ - reset