TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Politik

PKR belum terima permohonan rasmi Tengku Zafrul

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 31 Mei – Parti Keadilan Rakyat (PKR) setakat ini belum menerima sebarang permohonan rasmi daripada Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz untuk menyertai parti itu.

Setiausaha Agung PKR, Dr Fuziah Salleh berkata, semua permohonan keanggotaan parti mesti dilakukan secara dalam talian sebelum diproses dan dibentangkan di Mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP).

“Setiap permohonan akan melalui proses biasa, yang mana selepas permohonan dibuat secara dalam talian, ia akan dipertimbang sewajarnya sebelum keputusan dibuat, mengambil kira pelbagai sudut pandang termasuk pandangan rakan-rakan dalam Kerajaan Perpaduan serta pendapat akar umbi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dr Fuziah turut memaklumkan bahawa PKR difahamkan Tengku Zafrul akan menunaikan ibadah haji dan mendoakan beliau selamat pergi dan kembali serta memperoleh haji mabrur.

Tengku Zafrul, yang juga Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, malam tadi mengumumkan peletakan semua jawatan dalam UMNO dan menyatakan kesediaannya untuk menyertai PKR. Beliau sebelum ini adalah Ketua UMNO Bahagian Kota Raja dan Ahli MKT UMNO. – Media Telus

+ - reset