TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Politik

Sertai PKR adalah pilihan peribadi, bukan paksaan - Tengku Zafrul

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 1 Jun – Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengesahkan bahawa keputusannya untuk meninggalkan UMNO dan menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) dibuat secara sukarela dan atas pertimbangannya sendiri, tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak.

Beliau berkata keputusan berkenaan diambil selepas melalui proses renungan dan pertimbangan yang mendalam.

“Keputusan ini bukan keputusan yang mudah. Tetapi, saya telah memikirkannya secara mendalam. Pada masa yang sama, ingin saya tegaskan bahawa ini adalah pilihan saya sendiri. Bukan dipaksa oleh mana-mana pihak,” katanya kepada media di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum berangkat menunaikan ibadah haji pada Sabtu.

Tengku Zafrul turut menzahirkan penghargaan kepada kepimpinan UMNO, khususnya Presiden Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta rakan-rakan seperjuangan di dalam parti atas segala sokongan yang diterima sepanjang penglibatannya dalam UMNO.

Sebelum ini, beliau telah menyerahkan surat peletakan jawatan sebagai:

  • Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO

  • Ketua UMNO Bahagian Kota Raja

  • Ahli UMNO

Beliau juga memaklumkan bahawa hasrat menyertai PKR telah disampaikan kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Setiausaha Agung, Dr Fuziah Salleh.

Tengku Zafrul, yang kini merupakan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, menjelaskan bahawa beliau berharap agar masyarakat menghormati keputusannya dan memberi ruang untuk beliau menumpukan perhatian kepada ibadah haji.

“Buat masa ini, saya mohon kepada semua agar memberikan saya ruang untuk fokus kepada ibadah haji. Saya mohon doa agar segala urusan saya, isteri dan keluarga dipermudahkan di sana,” katanya lagi.

Beliau turut memohon maaf kepada kenalan dan sahabat atas sebarang kesilapan sepanjang hubungan mereka dan berjanji akan mendoakan kesejahteraan rakyat dan negara ketika berada di Tanah Suci.

Langkah politik Tengku Zafrul dilihat sebagai perkembangan penting dalam landskap politik tanah air, namun beberapa pimpinan parti seperti Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan Teo Nie Ching menegaskan bahawa penyertaan beliau ke PKR tidak menjejaskan kestabilan Kerajaan Perpaduan. – Media Telus

+ - reset