Berita Politik
Kenyataan pemimpin DAP goyah perpaduan – Nurulhidayah

KUALA LUMPUR 2 Jun – Kenyataan seorang pemimpin DAP yang mencadangkan agar MCA keluar daripada Kerajaan Perpaduan disifatkan berpotensi menggugat keharmonian dan persefahaman antara parti-parti komponen kerajaan sedia ada.
Ahli Exco Wanita UMNO, Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid berkata, kenyataan sedemikian bukan sahaja tidak membantu meredakan keadaan, malah boleh memburukkan lagi suasana dalam gabungan politik yang dibentuk berlandaskan semangat perpaduan.
“Ia menggambarkan seolah-olah masih ada pihak yang lebih selesa bermain sentimen kuasa dan kedudukan, berbanding menunjukkan kematangan dalam kepimpinan bersama,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook pada Isnin.
Menurut beliau, konsep politik perpaduan tidak seharusnya menjadi sekadar slogan semata-mata, tetapi perlu dilaksanakan dengan sikap toleransi, sabar dan meletakkan kepentingan rakyat melebihi kepentingan parti.
“Jika semua sibuk hendak ‘suruh keluar’, maka apa bezanya kita dengan zaman politik kucar-kacir yang lalu?” soal beliau.
Tambahnya lagi, pemimpin DAP yang membuat kenyataan itu mungkin terlupa bahawa penyertaan dalam Kerajaan Perpaduan datang bersama amanah besar – bukan sahaja daripada Yang di-Pertuan Agong, tetapi juga daripada rakyat yang menginginkan politik yang matang dan bertanggungjawab.
“Amanah itu bukan kecil. Ia amanah untuk menyelesaikan masalah rakyat, bukan menambah masalah sesama parti,” katanya.
Nurulhidayah turut membangkitkan persoalan sama ada tindakan MCA yang semakin aktif di lapangan rakyat menjadi punca keresahan sesetengah pihak.
“Adakah apabila MCA dilihat aktif bersama rakyat, ia menjadi satu ancaman kepada DAP?” katanya lagi.
Beliau menggesa semua pihak dalam kerajaan agar kembali kepada asas pembentukan Kerajaan Perpaduan, iaitu berteraskan nilai, akhlak dan jiwa besar.
“Kepimpinan bukan soal siapa paling kuat suara, tetapi siapa paling besar jiwanya. Jiwa yang besar tahu menyatukan, bukan menyingkirkan,” katanya.
Nurulhidayah menegaskan bahawa Kerajaan Perpaduan perlu dibuktikan sebagai lebih daripada sekadar gabungan politik – ia mesti menjadi gabungan jiwa demi masa depan rakyat dan kestabilan negara. - Media Telus
Berita berkaitan
July 31, 2025, 9:24 pm
Pelantikan Pengerusi MPN Pulau Pinang isyarat KEADILAN mantapkan strategi hadapi PRU16
July 30, 2025, 1:39 pm
Pas nafi spekulasi pertukaran jawatan presiden, Abdul Hadi kekal jawatan tertinggi parti
July 30, 2025, 9:32 am
'DAP patut minta maaf, jangan salahkan rakyat tuntut janji' - MCA
July 29, 2025, 6:47 pm
BN–PH ‘dikunci’ hadapi PRN Sabah – Zahid
July 27, 2025, 1:20 pm
Himpunan 'Turun Anwar' gagal, pembangkang main gimik politik lapuk - AMK Klang
July 18, 2025, 10:40 am
Amanah dalam kepimpinan bukan medan mencari pengaruh – Abdul Hadi
July 14, 2025, 12:29 pm