TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Jenayah

Polis buru dua wanita ugut keluarga menerusi TikTok live

By
|
Kongsi
image

Subang Jaya 2 Jun – Polis sedang mengesan dua wanita tempatan yang disyaki terlibat dalam kes pemerasan dan penyebaran maklumat palsu menerusi siaran langsung aplikasi TikTok, membabitkan ugutan terhadap sebuah keluarga di sini.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, kejadian terbongkar selepas seorang wanita berusia 46 tahun membuat laporan polis berhubung tindakan seorang suspek yang dikenalinya telah memburukkan keluarganya dalam siaran langsung pada Sabtu lalu.

“Dalam siaran tersebut, suspek turut menunjukkan gambar adik lelaki dan perempuan pengadu serta mengeluarkan tuduhan tidak berasas yang berunsur ugutan,” katanya dalam kenyataan media pada Isnin.

Tambah beliau, siaran langsung itu memberi tekanan emosi kepada keluarga pengadu kerana ditonton oleh ramai pengikut di platform berkenaan.

“Selepas siaran tersebut, pengadu menerima mesej WhatsApp daripada nombor tidak dikenali yang mengandungi ugutan mahu mencederakan, dipercayai berkait rapat dengan siaran langsung itu.

“Malah, suspek juga didakwa pernah menghubungi adik pengadu dan menuntut bayaran hutang sebanyak RM10,000. Namun, adik pengadu menafikan mempunyai sebarang hutang dengan suspek,” jelasnya.

Wan Azlan berkata, dua suspek yang dikenal pasti adalah wanita warga tempatan berusia lingkungan awal 40-an, dan dipercayai telah mengenali pengadu sejak April lalu.

Jelas beliau, kes sedang disiasat di bawah Seksyen 384 Kanun Keseksaan kerana pemerasan, dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 berhubung penyalahgunaan perkhidmatan rangkaian.

“Polis sedang giat mengesan kedua-dua suspek dan akan menangkap mereka dalam masa terdekat bagi membantu siasatan lanjut,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya untuk membantu siasatan. – Media Telus

+ - reset