TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Jenayah

Budak 9 tahun dakwa diliwat pelajar senior di Kota Bharu

By
|
Kongsi
image

 

KOTA BHARU 3 Jun – Seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun mendakwa menjadi mangsa liwat oleh pelajar senior di sebuah institusi pengajian agama di Kelantan dalam kejadian yang dipercayai berlaku kira-kira dua bulan lalu.

Mangsa yang juga merupakan pelajar di pusat tersebut mendedahkan kejadian kepada ibunya, sebelum laporan polis dibuat dan siasatan lanjut dijalankan.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat, berkata susulan laporan itu, seorang remaja lelaki berusia 12 tahun telah ditahan dan siasatan dijalankan mengikut Akta Kanak-Kanak 2001 serta Akta Mahkamah Juvana 1947.

“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku dalam kawasan institusi dan hanya berlaku sekali. Namun, kes ini dipandang serius kerana melibatkan penderaan seksual sesama jantina dalam kalangan pelajar bawah umur,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Program Libat Urus Cakna Remaja: Elak Gejala Sosial, Bina Masa Depan di Universiti Malaysia Kelantan (UMK), pada Selasa.

Beliau turut menyatakan bahawa kes seperti ini membuka ruang kepada penilaian semula terhadap undang-undang sedia ada, terutamanya berkaitan umur matang dan kebolehpercayaan keterangan saksi bawah umur.

“Kami melihat keperluan untuk mengkaji semula Seksyen 113 Akta Keterangan 1950, kerana budak zaman sekarang lebih cepat matang dan mampu memberikan keterangan yang jelas dalam banyak kes,” katanya lagi.

Tambah beliau, institusi agama tidak terkecuali daripada cabaran sosial semasa dan perlu memainkan peranan lebih proaktif dalam melindungi pelajar.

“Kami menyeru pihak pengurusan institusi agar memperketat pemantauan dan memastikan persekitaran pembelajaran yang selamat serta bebas daripada sebarang bentuk jenayah,” tegasnya.

+ - reset