Berita Politik
Anwar berhak pilih kabinet, tetapi cadangan dari mana-mana pihak tidak salah – Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR 3 Jun – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mempunyai hak untuk memilih siapa yang akan mengisi kabinet, namun tidak salah bagi mana-mana pihak termasuk organisasi politik untuk mengemukakan cadangan mengenai perkara tersebut.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata keputusan mengenai kekosongan dua jawatan menteri ketika ini, termasuk pelantikan sementara oleh menteri lain, adalah terpulang kepada Anwar.
“Ia adalah prerogatif dan kuasa politik Perdana Menteri untuk membuat keputusan dalam hal kabinet. Namun, tidak salah untuk bertanya atau mencadangkan, seperti yang dilakukan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang meminta kerusi menteri untuk UMNO sekiranya Tengku Zafrul (Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz) menyertai PKR,” katanya kepada Berita Harian, semalam.
Ahmad diminta mengulas kenyataan Perdana Menteri semalam yang menyatakan tiada keperluan mendesak untuk mengadakan rombakan kabinet walaupun dua anggota kabinet telah ‘meletakkan jawatan’.
Anwar menjelaskan walaupun Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad kini sedang bercuti, kerajaan masih berfungsi sepenuhnya.
Pada Jumaat lalu, Ahmad yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya menggesa supaya jawatan Menteri Ekonomi diisi segera berikutan pembentangan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) yang dijadualkan pada Julai.
Pada 28 Mei lalu, Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad mengumumkan peletakan jawatan mereka sebagai Menteri Ekonomi dan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar susulan kekalahan mereka dalam pemilihan parti PKR 2025.
Peletakan jawatan mereka mencetuskan perbincangan sama ada kekosongan tersebut akan membawa kepada rombakan kabinet yang lebih besar. – Media Telus
Berita berkaitan
July 31, 2025, 9:24 pm
Pelantikan Pengerusi MPN Pulau Pinang isyarat KEADILAN mantapkan strategi hadapi PRU16
July 30, 2025, 1:39 pm
Pas nafi spekulasi pertukaran jawatan presiden, Abdul Hadi kekal jawatan tertinggi parti
July 30, 2025, 9:32 am
'DAP patut minta maaf, jangan salahkan rakyat tuntut janji' - MCA
July 29, 2025, 6:47 pm
BN–PH ‘dikunci’ hadapi PRN Sabah – Zahid
July 27, 2025, 1:20 pm
Himpunan 'Turun Anwar' gagal, pembangkang main gimik politik lapuk - AMK Klang
July 18, 2025, 10:40 am
Amanah dalam kepimpinan bukan medan mencari pengaruh – Abdul Hadi
July 14, 2025, 12:29 pm