TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Bekas kakitangan Astro pengsan ketika dengar 743 pertuduhan ubah suai data pelanggan tanpa kebenaran

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 5 Jun – Seorang bekas kakitangan stesen televisyen berbayar, Astro, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 743 pertuduhan mengubah suai sistem pangkalan data syarikat dengan menukar akaun pelanggan biasa kepada akaun korporat tanpa kebenaran.

Tertuduh, Nora Idayu Jaafar, 48, yang bertugas di Unit Sokongan Komersial syarikat tersebut, dilaporkan tiba-tiba rebah dan pengsan di dalam kandang tertuduh ketika pertuduhan ke-30 sedang dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Norma Ismail.

Ekoran kejadian itu, mahkamah menetapkan 26 Jun sebagai tarikh sambung bicara untuk meneruskan bacaan baki 713 pertuduhan.

Bagi 30 pertuduhan pertama, Nora Idayu didakwa melakukan pengubahsuaian data dengan menukar 30 akaun pelanggan biasa kepada akaun korporat tanpa kuasa, tindakan yang beliau tahu akan mengubah kandungan sistem pangkalan data milik majikan.

Kesalahan tersebut didakwa dilakukan di Pejabat Astro, Menara Icon, Jalan Tun Razak, dan diklasifikasikan di bawah Seksyen 5(1) Akta Jenayah Komputer 1997, yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara tujuh tahun atau denda sehingga RM100,000, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai dan melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Rohaiza Abdul Rahman, manakala Nora Idayu tidak diwakili peguam.

+ - reset