Berita Berita
Malaysia kecewa UNSC gagal lagi lulus resolusi desak gencatan senjata segera di Gaza

PUTRAJAYA 5 Jun - Malaysia melahirkan rasa amat kesal dan kecewa terhadap kegagalan berulang Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) dalam meluluskan resolusi yang mendesak gencatan senjata serta-merta dan berkekalan di Gaza serta penghapusan sekatan bantuan kemanusiaan.
Kementerian Luar (Wisma Putra) dalam satu kenyataan hari ini menegaskan bahawa kegagalan berterusan UNSC untuk bertindak terhadap salah satu tragedi kemanusiaan paling dahsyat sejak Perang Dunia Kedua adalah amat mengecewakan, terutama susulan penggunaan kuasa veto yang tidak berperikemanusiaan.
"Malaysia mengecam sekeras-kerasnya tindakan rejim Zionis Israel yang membunuh orang awam, melakukan genosid serta menjadikan kebuluran dan sekatan bantuan kemanusiaan sebagai senjata perang," menurut kenyataan itu.
Meskipun UNSC gagal bertindak, Wisma Putra menegaskan bahawa masyarakat antarabangsa mesti meneruskan segala usaha untuk menjamin keselamatan dan kestabilan di Asia Barat.
Kenyataan itu turut menekankan bahawa penyelesaian tunggal yang adil dan berkekalan bagi krisis di rantau tersebut adalah melalui penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka dan berdaulat, berdasarkan sempadan pra-1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara.
Pendirian ini, menurut kementerian itu, kekal sebagai dasar berprinsip Malaysia dan sejajar dengan sokongan berterusan komuniti antarabangsa terhadap perjuangan rakyat Palestin.
Terdahulu, Amerika Syarikat menggunakan kuasa vetonya semalam untuk menggagalkan draf resolusi yang dibawa oleh Slovenia atas nama 10 negara anggota Majlis Keselamatan, termasuk Algeria, Denmark, Pakistan, dan Korea Selatan. Resolusi itu disokong oleh 14 ahli UNSC lain.
Draf tersebut menggesa "gencatan senjata segera, tanpa syarat dan kekal" serta menyatakan kebimbangan serius terhadap krisis kemanusiaan di Gaza, termasuk risiko kebuluran, selain menekankan tanggungjawab semua pihak untuk mematuhi undang-undang kemanusiaan dan hak asasi antarabangsa.
Berita berkaitan
June 6, 2025, 9:02 pm
Budak 2 tahun cedera mata tercucuk pensel ketika ibu memasak
June 6, 2025, 8:16 pm
Pelancong wanita cedera dihempap dahan pokok di Bukit Bendera
June 6, 2025, 7:26 pm
Budak maut jatuh dari tingkat 30, polis tahan ibu kandung, bapa saudara
June 6, 2025, 6:48 pm
Jaga-jaga, hujan lebat, ribut petir diramal landa kebanyakan negeri malam raya
June 6, 2025, 6:21 pm
SIS cabar fatwa: JAIS seru masjid, surau adakan solat hajat
June 6, 2025, 5:22 pm
Lebih 5,000 kakitangan Petronas terjejas adalah berstatus kontrak – Anwar
June 6, 2025, 4:25 pm
Kabel rosak punca budak terkena renjatan elektrik di Dataran Drawbridge
June 6, 2025, 3:24 pm
Ibu, teman lelaki ditahan, disyaki abaikan dua anak perempuan di Puchong
June 6, 2025, 2:14 pm
Juruukur maut terjatuh dalam lubang dari tingkat 8 tapak pembinaan di Bukit Mertajam
June 6, 2025, 1:25 pm