TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Tiada keperluan ambil keterangan Anwar berhubung kes Yusoff Rawther – KPN

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 13 Jun – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menegaskan tiada keperluan untuk mengambil kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung laporan polis yang dibuat oleh Muhammed Yusoff Rawther pada 12 September 2023.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, laporan tersebut disiasat seiring dua kertas siasatan yang dibuka berkaitan penemuan dadah dan pistol.

“Tiada keperluan mengambil kenyataan Perdana Menteri dalam kes tersebut memandangkan tindakan itu telah diambil ketika aduan dibuat oleh Muhammed Yusoff di peringkat awal.

“Pada peringkat itu, PDRM telah mengemukakan ke Pejabat Peguam Negara (AGC) dengan cadangan pertuduhan untuk kedua-dua kes tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, berdasarkan keterangan yang dikumpulkan, pihak polis berpuas hati ia mencukupi untuk menuduh Muhammed Yusoff tanpa perlu memanggil pihak lain untuk melengkapkan siasatan.

Katanya, keputusan pendakwaan dibuat selaras Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan oleh Pejabat Peguam Negara.

“Berhubung keputusan Mahkamah Tinggi dalam kes Muhammed Yusoff, PDRM menghormati pandangan yang dikemukakan oleh semua pihak.

“Pandangan tersebut mencerminkan hasrat murni untuk memastikan sistem keadilan jenayah negara menjunjung prinsip keadilan dan hak asasi manusia,” jelasnya.

Tambah beliau, PDRM akan meneliti penghakiman penuh perbicaraan itu untuk menilai sekiranya wujud kelompangan atau kelemahan dalam siasatan.

“PDRM bersedia menambah baik melalui penilaian dalaman dan semakan semula prosedur operasi standard (SOP) penyiasatan,” katanya.

Razarudin turut menegaskan bahawa setiap laporan polis akan disiasat secara adil dan tanpa prejudis, termasuk kes melibatkan individu berprofil tinggi.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan bahawa Muhammed Yusoff, bekas pembantu penyelidik, dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan prima facie terhadap pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis dan memiliki dua pistol tiruan.

Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin membuat keputusan itu selepas mendapati tiada bukti mencukupi untuk memanggil tertuduh membela diri.

Sebelum ini, barisan peguam Muhammed Yusoff memberi tempoh seminggu kepada PDRM untuk mengemas kini siasatan berdasarkan laporan yang dibuat oleh anak guam mereka, atau bakal berdepan tindakan undang-undang.

Muhammed Yusoff dalam laporannya menafikan sebarang penglibatan dalam pemilikan dadah, senjata atau aktiviti jenayah, dan mendakwa dirinya diperangkap serta menjadi mangsa penganiayaan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan bekas Setiausaha Politik Presiden PKR, Datuk Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak. – KOSMO! ONLINE

+ - reset