TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

'Ibu harap kamu semua jadi anak yang baik, dengar kata' - Ucapan Hari Ibu terakhir guru maut di tangan anak runtun hati netizen

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 13 Jun – Hantaran seorang guru wanita yang maut dalam tragedi pembunuhan di tangan anak kandung sendiri, awal pagi semalam, menjadi sorotan dan menyentuh hati warganet selepas tersebarnya insiden yang berlaku di Taman Rambai Mutiara, Bukit Rambai, Melaka.

Guru berusia 51 tahun itu sebelum ini memuat naik satu hantaran di Facebook bulan lalu, membalas ucapan Hari Ibu yang dikongsikan anak sulungnya berumur 21 tahun menerusi sebuah video menyentuh hati, lengkap dengan kompilasi gambar keluarga mereka yang kelihatan bahagia.

Dalam kapsyen penuh kasih sayang, guru tersebut menulis:

“Ibu harap kamu semua jadi anak yang baik, dengar kata, membesar dengan sihat, gembira dan jadi insan berguna. Ibu sayang kamu semua, I love you!”

Hantaran berkenaan kembali tular susulan tragedi berdarah yang menyayat hati itu, dengan ramai pengguna media sosial meninggalkan ucapan takziah dan doa di ruangan komen.

“Salam takziah cikgu, semoga segala urusan dipermudahkan,” tulis seorang pengguna bernama Liza.

“Kasihannya anak bongsu dia, hilang semua,” komen seorang lagi pengguna, Nasrul.

“Sedihnya dengar apa yang jadi pada keluarga ini. Semoga tenang di sana buat ibu dan anak sulungnya,” tambah Andrew.

Terdahulu, media melaporkan bahawa seorang guru wanita dan anak sulungnya maut dipercayai ditikam, manakala seorang lagi ahli keluarga parah dalam kejadian kira-kira jam 5 pagi itu.

Kedua-dua mangsa ditemui berlumuran darah di ruang tamu rumah, manakala mangsa yang terselamat ditemukan di kawasan garaj.

Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar memaklumkan, suspek berusia 17 tahun yang juga anak kedua dalam keluarga berkenaan telah ditahan.

Polis turut merampas sebilah pisau lipat sepanjang kira-kira 20 sentimeter dari dalam beg sekolah suspek.

“Mangsa wanita merupakan seorang guru di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina dan anak sulungnya adalah pelajar kolej. 

"Kedua-dua mereka mati dipercayai akibat ditikam suspek menggunakan pisau lipat dengan kesan tikaman di leher, pinggang dan belakang badan,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka.

Tragedi yang berlaku ini nyata mengejutkan ramai pihak dan meninggalkan kesan mendalam, lebih-lebih lagi apabila kisah kasih sayang ibu terhadap anak-anaknya terbukti jelas dalam ucapan terakhir yang dikongsikan.

+ - reset