TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Ahli Parlimen dakwa rakyat bakal derita ‘penyakit ekonomi tiga serangkai’

By
|
Kongsi
image

SHAH ALAM 16 Jun – Pelaksanaan perluasan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang dijadual berkuat kuasa mulai 1 Julai 2025 dipersoalkan oleh Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Saifuddin Abdullah yang menyifatkannya sebagai beban tambahan kepada rakyat melalui apa yang digelar sebagai ‘penyakit ekonomi tiga serangkai’.

Menurutnya, istilah tersebut tidak merujuk kepada penyakit jantung, kencing manis dan darah tinggi, tetapi kepada penderitaan ekonomi yang dikatakan semakin menghimpit rakyat.

“Rakyat akan ‘sakit’ dengan kenaikan dan peluasan SST, ‘kencing’ melalui penyasaran subsidi RON95, dan ‘tinggi’ bil elektrik – semuanya menghimpit isi rumah golongan B40 dan M40,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Isnin.

Tambah beliau, dasar yang diumumkan kerajaan itu ibarat eksperimen terhadap rakyat yang terpaksa berdepan kos sara hidup semakin meningkat.

“Inilah realiti yang sedang dan bakal ditanggung rakyat. Jangan terus menambah derita rakyat dengan dasar yang keliru dan tidak berpijak pada realiti.

“Rakyat bukan makmal eksperimen ekonomi. Mereka adalah manusia yang punya keluarga untuk disara, kehidupan untuk dijaga,” tegasnya.

Saifuddin juga menyentuh tentang kekeliruan yang timbul ekoran kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam sebuah video tular baru-baru ini, yang didakwa tidak tepat dalam menjelaskan perbezaan antara sistem Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dan SST.

“Anwar menyebut bahawa GST bermaksud General Service Tax yang mencukai semua perkara, manakala SST hanya dikenakan ke atas barangan import – kenyataan yang tidak tepat,” jelasnya.

Ujarnya, GST sebenarnya ialah Goods and Services Tax, iaitu cukai ke atas barangan dan perkhidmatan, manakala SST turut dikenakan ke atas barangan dan perkhidmatan tempatan, bukan hanya barangan import.

Saifuddin turut melahirkan kebimbangan terhadap tahap kefahaman Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan itu mengenai dasar percukaian negara.

“Jika ketua kerajaan sendiri gagal memahami sistem percukaian yang beliau kendalikan, bagaimana mungkin rakyat boleh meletakkan keyakinan bahawa dasar-dasar fiskal negara berada di landasan yang betul?” katanya lagi. – Media Telus

+ - reset