TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

150,557 lepasan SPM 2024 diterima masuk IPTA - KPT

By
|
Kongsi
image

PUTRAJAYA, 16 Jun – Seramai 150,557 calon lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 berjaya mendapat tawaran melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) bagi sesi pengambilan terkini, menurut Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

Dalam kenyataan hari ini, KPT memaklumkan jumlah tersebut mewakili 67.33 peratus daripada keseluruhan 223,624 permohonan yang diterima menerusi sistem UPUOnline.

Daripada jumlah itu, seramai 86,589 calon ditawarkan ke Universiti Awam (UA), manakala 42,058 calon ke Politeknik, 20,427 ke Kolej Komuniti dan 1,483 lagi ke institusi di bawah MARA Bahagian Pendidikan Tinggi (MARA BPT).

Kementerian turut menjelaskan bahawa sebanyak 17,693 calon ditawarkan melalui laluan khas, yang merangkumi 16,189 calon daripada kategori B40, 590 Orang Kurang Upaya (OKU), 593 atlet serta 321 daripada kalangan Orang Asli.

Selain itu, seramai 43 calon dari institusi di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut mendapat tempat di institusi pengajian tinggi awam.

Pemilihan calon, menurut KPT, dibuat berasaskan prinsip meritokrasi dengan menyusun semua calon yang layak mengikut markah merit tertinggi hingga ke peringkat terendah bagi menentukan penerimaan tawaran.

Secara keseluruhan, sejumlah 349 program pengajian ditawarkan bagi sesi ini yang merangkumi program sijil, asasi, diploma dan satu program ijazah sarjana muda.

Bagi calon yang tidak menerima sebarang tawaran, mereka boleh mengemukakan permohonan rayuan menerusi UPUOnline bermula hari ini sehingga 25 Jun, sebelum jam 5 petang. - Media Telus

+ - reset