TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Rafizi luah perasaan pertama kali jadi menteri, perlu tahu banyak benda

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR, 16 Jun – Datuk Seri Rafizi Ramli meluahkan penghargaan terhadap penjawat awam yang telah banyak membantunya sepanjang menggalas tanggungjawab sebagai Menteri Ekonomi dalam tempoh lebih setahun lalu.

Dalam satu catatan “selamat tinggal” yang dimuat naik di Facebook hari ini, Ahli Parlimen Pandan itu berkongsi pengalamannya pertama kali berkhidmat dalam Kabinet, yang menurutnya menuntut penguasaan pelbagai bidang luar dan dalam kementerian.

Menurut Rafizi, skop portfolio yang disandangnya di Kementerian Ekonomi sangat luas sehingga memerlukan beliau memahami dasar-dasar utama dalam pelbagai sektor termasuk pertanian, kesihatan, tenaga, pendidikan dan pelaksanaan projek.

“Kementerian Ekonomi merentasi semua sektor dalam dan luar negara – dari ekonomi makro, kewangan, pertanian, perindustrian, pendidikan, kesihatan sehinggalah kepada perpaduan negara,” katanya.

Walaupun dinamakan “Kementerian Ekonomi”, jelas beliau, fungsi utamanya adalah sebagai agensi pusat yang menggubal dasar makro negara merentasi semua sektor, sebelum diterjemahkan dan dilaksanakan oleh kementerian lain.

Katanya lagi, kawal selia kementeriannya dilaksanakan menerusi kelulusan Belanja Pembangunan, yang memerlukan setiap kementerian mengemukakan permohonan perbelanjaan modal kepada Kementerian Ekonomi.

Rafizi juga mengakui, sebagai menteri baharu dalam kerajaan, banyak perkara perlu dipelajarinya dalam masa singkat. Dalam hal ini, peranan penjawat awam sangat penting.

“Kalau penjawat awam kedekut ilmu, tidak beri jawapan betul atau culas memberi jawapan komprehensif, menteri itu tidak akan membina kemahiran yang diperlukan dalam masa singkat,” katanya.

Dalam ucapan terakhirnya Jumaat lalu, beliau turut menzahirkan keyakinan terhadap masa depan negara kerana menurutnya, kekuatan sebenar kerajaan adalah terletak pada komitmen dan kesetiaan penjawat awam.

“Saya tidak bimbang dengan kemampuan kerajaan merencana kemajuan negara kerana tulang belakangnya terdiri daripada penjawat-penjawat awam yang sayangkan negara,” ujarnya.

 

+ - reset