TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Lebih 10 mayat termasuk bayi ditemui di Sungai Klang

By
|
Kongsi
image

SHAH ALAM, 16 Jun – Lebih 10 mayat, termasuk mayat bayi, telah ditemui sepanjang pelaksanaan Projek Mitigasi Banjir Sungai Klang yang sedang giat dijalankan di bawah inisiatif Selangor Maritime Gateway (SMG) sejak 2022, menurut pemaju utama projek, Landasan Lumayan Sdn Bhd (LLSB).

Pengarah Urusan LLSB, Syaiful Azmen Nordin, berkata penemuan mengejutkan itu bukan insiden terpencil malah berlaku hampir setiap bulan sejak kerja pendalaman dan pelebaran sungai dimulakan pada 1 November 2022.

“Setakat ini, kami telah menyerahkan lebih 10 mayat kepada pihak polis dan bomba untuk siasatan lanjut. Malah, kami juga pernah menemui tiga mayat dalam tempoh berturut-turut,” katanya ketika ditemui pemberita dalam lawatan ke tapak projek di Zon 8, Kota Kemuning, hari ini.

Menurut beliau, antara penemuan yang paling menyedihkan ialah mayat bayi yang ditemui dalam keadaan tidak dijangka oleh pasukan pelaksana.

Selain cabaran berdepan dengan insiden penemuan mayat, pasukan turut berdepan tahap pencemaran luar biasa apabila menjumpai pelbagai objek berat dan tidak sepatutnya berada di dasar sungai, termasuk peti sejuk, tayar lori, tilam, sofa, katil dan motosikal.

“Saya sendiri tidak faham bagaimana peti sejuk boleh berakhir dalam sungai,” ujarnya sambil menggambarkan keadaan pencemaran sebagai serius dan mencabar proses kerja pendalaman sungai.

Projek Mitigasi Banjir Sungai Klang ini merupakan sebahagian usaha holistik SMG untuk meningkatkan kapasiti sungai sehingga 40 peratus, memulihkan ekosistem serta memperbaiki kualiti air kepada tahap Indeks Kualiti Air (IKA) Kelas III dan ke atas.

Projek turut menyokong inisiatif Shah Alam Sustainable Urban Drainage (SASUD) serta pembangunan Loji Rawatan Air Sungai Rasau, dalam usaha menjadikan Sungai Klang sebagai sumber air mentah yang boleh dirawat menjadi air minuman.

Setakat ini, lebih 918,936 meter padu bahan korekan termasuk mendapan, sampah dan batuan telah dikeluarkan dari dasar sungai.

Kerja-kerja yang sedang dilaksanakan meliputi pelebaran sungai dari 50–60 meter kepada 80–100 meter, pengukuhan tebing menggunakan kaedah earth bund, sheet pile, geo bag dan flood wall, selain penggunaan teknologi moden dalam sistem tebatan banjir.

Zon pelaksanaan aktif kini tertumpu di kawasan Shah Alam meliputi Zon 6, Zon 7 dan Zon 8 termasuk kawasan berisiko tinggi seperti Alam Impian, Seksyen 24, Seksyen 17 dan Kota Kemuning.

LLSB memberi jaminan bahawa kesan terhadap komuniti setempat adalah minimum, dengan pelaksanaan langkah mitigasi seperti laluan alternatif, pemantauan bunyi dan habuk, serta pemberitahuan awal kepada penduduk.

“Projek ini bukan sahaja menambah kapasiti sungai dan mencegah banjir kilat, tetapi juga memulihkan martabat Sungai Klang sebagai aset sumber air dan ekosistem yang lestari,” ujar Syaiful.

Katanya lagi, pelaksanaan projek akan diperluas ke lokasi lain di sepanjang Sungai Klang berdasarkan keutamaan risiko banjir dan kepadatan penduduk.

“Cabaran kami bukan sedikit, namun kami yakin pendekatan bersepadu seperti ini adalah masa depan pengurusan air dan tebatan banjir di Selangor,” katanya. 

+ - reset