TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Lebih 750,000 pekerja logistik tonggak kelangsungan rantaian bekalan - Steven Sim

By
|
Kongsi
image

Oleh NUR LELA ZULKIPLI

KLANG, 16 Jun  – Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong menegaskan bahawa sektor logistik merupakan "sistem peredaran darah masyarakat moden" yang perlu diberi keutamaan, bukan sahaja dari segi infrastruktur, tetapi juga pembangunan tenaga kerjanya.

Berucap dalam program National Training Week (NTW) 2025 High Impact Programme: Logistics Unboxed di Wyndham Acmar Klang Hotel hari ini, beliau berkata kejayaan sektor ini bergantung kepada kecekapan pekerja dan kemahiran mereka, bukan semata-mata kelengkapan teknologi.

“Sama seperti badan manusia, walau pemakanan sehebat mana pun, jika saluran darah tersumbat, kesihatan keseluruhan akan terjejas. Begitu juga logistik – jika rangkaian tergendala, seluruh ekonomi terjejas,” katanya sambil merujuk kepada krisis rantaian bekalan semasa pandemik COVID-19.

Menyingkap pengalaman sewaktu pandemik, beliau berkata kekangan logistik seperti kelewatan penghantaran, kekurangan tenaga kerja, dan penyumbatan di pelabuhan telah menjejaskan bukan sahaja ekonomi tempatan tetapi global.

Namun, katanya, terdapat aspek yang sering dipandang remeh – tenaga kerja dalam sektor logistik yang tidak kelihatan di mata umum.

“Kita klik butang beli dan barang tiba di depan pintu. Kita anggap itu magik. Tapi di sebalik magik itu ada ratusan ribu pekerja logistik,” ujarnya.

Menurut data tahun lalu, Malaysia merekodkan seramai 753,000 pekerja dalam industri logistik.

Justeru, beliau menegaskan bahawa kerajaan MADANI komited memperkenalkan rang undang-undang pekerja gigbagi melindungi lebih 200,000 pekerja e-hailing dan p-hailing yang tidak dilindungi di bawah undang-undang buruh sedia ada.

Dalam konteks itu, Steven Sim turut menggariskan Visi KESUMA 3K iaitu reformasi pasaran buruh yang menekankan kesejahteraan, kemahiran dan kenaikan produktiviti pekerja sebagai jambatan kepada tuntutan majikan dan pekerja.

“Majikan mahu untung lebih, pekerja mahu gaji lebih – jambatannya ialah produktiviti. Dan untuk naikkan produktiviti, kita perlukan kemahiran tinggi,” katanya.

Sehubungan itu, kerajaan memperuntukkan RM10 bilion setahun untuk pendidikan dan latihan kemahiran sebagai pelaburan langsung dalam pembangunan modal insan negara.

Beliau juga mengumumkan bahawa sempena NTW 2025, lebih 2 juta rakyat Malaysia telah menyertai lebih 70,000 kursus latihan kemahiran percuma, menggandakan sasaran awal sebanyak satu juta peserta.

“Ini kejayaan besar. Kita mahu rakyat biasa terbiasa dengan latihan kemahiran. Kita mahu ia jadi budaya, jadi trend, jadi arus perdana,” katanya.

Program berkenaan dianjurkan dengan kerjasama Infinity Logistics & Transport dan Kementerian Pengangkutan, menunjukkan contoh kerjasama sektor awam-swasta yang menyeluruh dalam memperkasa industri logistik.

Beliau memuji usaha Infinity Logistics yang bukan sahaja melatih pekerja mereka sendiri, tetapi turut melibatkan sektor keseluruhan dengan membawa pakar dan pemain industri untuk berbincang tentang masa depan logistik di Malaysia.

“Ini bukan semata-mata tentang perniagaan mereka, tapi untuk seluruh industri. Inilah maksud sebenar ‘empowering workforce beyond borders’,” katanya.

Steven turut merakamkan penghargaan kepada semua pekerja dan profesional dalam sektor logistik yang sentiasa memastikan negara terus bergerak.

“Pekerja logistik, terima kasih kerana sentiasa menggerakkan Malaysia ke hadapan,” ujarnya. - Media Telus

 

+ - reset