Berita Berita
'Tiada keperluan rombak Kementerian Ekonomi, selamat maju jaya Rafizi' - Anwar

KUALA LUMPUR, 17 Jun – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menegaskan tiada keperluan untuk merombak Kementerian Ekonomi susulan peletakan jawatan Datuk Seri Rafizi Ramli sebagai menterinya yang berkuat kuasa 17 Jun.
Menurut Anwar, beliau menghargai segala sumbangan Rafizi sepanjang menerajui kementerian berkenaan, dan sebarang keputusan berhubung pengganti atau penstrukturan portfolio akan dibuat pada masa yang bersesuaian.
“Saya fikir tidak ada keperluan untuk kita rombak apa-apa setakat ini dan saya ucap selamat maju jaya kepada Rafizi yang telah berkhidmat begitu baik sebagai Menteri Ekonomi,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Persidangan Energy Asia 2025, di sini hari ini.
Dalam pada itu, Anwar turut mengulas status Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad, yang turut mengumumkan peletakan jawatan berkuat kuasa 4 Julai.
Menurutnya, beliau mengambil pendekatan berhati-hati dan memberikan ruang secukupnya kepada semua pihak sebelum membuat keputusan muktamad mengenai pengisian jawatan tersebut.
“Saya selalu tunggu, beri peluang, berfikir dan berkenan. Saya beri pandangan saya, kalau boleh teruskan khidmat. Tapi masih ada masa lagi sebelum tempoh (lantikan) beliau tamat,” ujarnya.
Ketika ditanya sama ada pengumuman berhubung pengganti akan dibuat esok, Anwar menafikan dan menjelaskan bahawa tarikh rasmi peletakan jawatan Nik Nazmi belum tiba, justeru tiada keperluan tergesa-gesa.
“Bukan esok kerana awal sangat. Saya periksa tarikh. Jadi kita beri ruang. Tak perlulah gopoh-gapah nak suruh terima sedangkan tarikhnya belum sampai. Lagipun kita perlukan khidmat yang baik,” tambahnya.
Terdahulu, pada 28 Mei lalu, Nik Nazmi mengumumkan peletakan jawatannya berkuat kuasa 4 Julai, hanya kira-kira tiga jam selepas Rafizi mengumumkan keputusan meletakkan jawatan sebagai Menteri Ekonomi.
Berita berkaitan
June 17, 2025, 3:59 pm
Jumlah hari sekolah kekal tiap tahun, NUTP nafi guru tak sempat tamat silibus
June 17, 2025, 3:44 pm
Maszlee dakwa jemputan ucaptama di IPTA dibatalkan kerana tiada tauliah agama
June 17, 2025, 3:43 pm
'Bukan mudah tinggalkan NRES' - Nik Nazmi kekal letak jawatan
June 17, 2025, 3:07 pm
Penyanyi Sheqal meninggal dunia
June 17, 2025, 2:37 pm
Akta 652 bakal digubal, TVET diangkat setaraf PHD - Steven
June 17, 2025, 11:02 am