TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Jumlah hari sekolah kekal tiap tahun, NUTP nafi guru tak sempat tamat silibus

By
|
Kongsi
image

 

 

KUALA LUMPUR 17 Jun - Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) menolak dakwaan bahawa guru tidak mempunyai masa mencukupi untuk menamatkan silibus pembelajaran tahun ini, sebaliknya menegaskan jumlah hari persekolahan kekal konsisten setiap tahun.

Setiausaha Agung NUTP, Fouzi Singon, berkata semua sekolah beroperasi mengikut takwim rasmi yang dirancang Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan jumlah hari persekolahan tidak kurang daripada 190 hari setiap tahun.

“Sekolah ada penolong kanan pentadbiran, ketua bidang dan ketua panitia yang mengawal setiap mata pelajaran.
Guru tahu apa yang mereka laksanakan untuk memastikan kecemerlangan murid setiap tahun,” katanya kepada FMT.

Menurutnya, aktiviti kokurikulum yang dilaksanakan juga dirancang secara sistematik oleh pihak KPM, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) serta pihak sekolah.

Beliau mengulas mengenai keluhan segelintir guru yang bimbang silibus masih belum selesai walaupun sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) telah memasuki pertengahan tahun.

Semalam, pensyarah UKM, Prof Madya Dr Anuar Ahmad, dilaporkan berkata bahawa pelbagai program anjuran pentadbir sekolah dan luar sekolah telah mengganggu jadual PdP sehingga menjejaskan penyampaian silibus.

Anuar turut menyatakan bahawa tahun ini, tempoh PdP lebih pendek berbanding tahun sebelumnya kerana sesi persekolahan tahun depan akan kembali bermula pada Januari.

Fouzi tidak menafikan wujud sekolah yang melaksanakan program luar takwim dan tidak membuat pertimbangan wajar terhadap kesannya kepada pembelajaran murid.

“Memang tidak dinafikan ada sekolah tidak membuat pertimbangan wajar sama ada program dilaksanakan memberikan impak kepada pembelajaran murid atau sekadar sambutan bagi memenuhi hasrat pengurusan sahaja,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan KPM mengkaji semula pelaksanaan program berimpak tinggi, terutamanya yang membazir masa dan hanya memberi tekanan emosi kepada guru.

“Program yang tidak diatur dalam takwim tidak wajar dilaksanakan. Isu laporan Bank Dunia berkaitan murid Malaysia bersekolah 11 tahun tetapi belajar hanya lapan tahun harus diambil iktibar dan diperhalusi KPM,” katanya lagi.

 

+ - reset