TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Penyanyi Sheqal meninggal dunia

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 17 Jun – Penyanyi irama nusantara, Sheqal, meninggal dunia di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), Seremban, Negeri Sembilan pada jam 12.31 tengah hari tadi.

Perkara itu disahkan Timbalan Pengerusi Music Malaysia, Ayob Abd. Majid menerusi satu kenyataan ringkas.

“Dengan rasa dukacita, dimaklumkan bahawa sahabat kita, Sheqal, telah kembali ke rahmatullah sebentar tadi.

“Menurut isterinya, jenazah akan dibawa pulang ke kampung halaman Allahyarham di Raub, Pahang.

“Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya dan menempatkan arwah dalam kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Al-Fatihah,” katanya.

Sementara itu, laporan Harian Metro menyatakan kematian Allahyarham disahkan isterinya, Normah Mohd Yusoff, 58 tahun.

Difahamkan, Sheqal dimasukkan ke HTJ pada 4 Jun lalu dan ditidurkan pada 6 Jun sebelum disahkan meninggal dunia hari ini.

Sheqal berkahwin dengan Normah pada tahun 2000 dan dikurniakan dua anak, iaitu Muhammad Fatullah Shaharim, 21, dan Ummu Hani Shaharim, 20.

Sebelum itu, beliau pernah mendirikan rumah tangga bersama penyanyi dan pelakon popular, Raja Ema, pada tahun 1993, namun bercerai pada 1999. Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan dua anak lelaki, Putera Ammar dan Putera Al Kasyah.

Sepanjang bergelar anak seni, Sheqal dikenali menerusi genre balada nusantara dan telah menghasilkan empat album studio iaitu Balada Nusantara (1990), Pudar yang Tersirat Pasrah (1991), Cahaya (1994), dan Lambaian (1998). – Media Telus

+ - reset