TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

'Saya serahkan segalanya kepada undang-undang' - Naim Daniel tak mengaku amang seksual remaja perempuan 17 tahun

By
|
Kongsi
image

PUTRAJAYA 17 Jun - Pelakon dan penyanyi terkenal, Naim Daniel mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja perempuan pada 19 Mei lalu. 

Naim atau nama sebenarnya, Muhammad Na'im Daniel Baharin, 28, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Datin M Kunasundary.

Mengikut pertuduhan, selebriti terbabit didakwa melakukan amang seksual fizikal bagi tujuan seksual terhadap mangsa berusia 17 tahun di sebuah hotel di Petaling Jaya, Selangor, jam 8.56 malam, 19 Mei lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKKSTKK) 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan boleh dihukum sebat.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Izzah Shaharuddin, manakala tertuduh diwakili Mohd Irwan Sumadi dan Amirul Ridzuan Hanif. 

Timbalan Pendakwa Raya menawarkan jaminan sebanyak RM15,000 dengan syarat tambahan pasport ditahan sementara serta tidak mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan dengan apa cara sekalipun. 

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan yang dicadangkan pihak pendakwaan. 

Kes akan disebut semula pada 18 Ogos ini. 

Sebelum ini, media melaporkan selebriti terkenal yang ditahan berhubung kes amang seksual terhadap remaja perempuan berusia 17 tahun baru-baru ini didakwa baru kali pertama membawa mangsa ke hotel.

Maklumat terbabit diperoleh selepas polis menjalankan soal siasat ke atas selebriti berkenaan. 

Suspek dan mangsa yang juga pelajar dikatakan berkenalan kira-kira dua bulan lalu.

Selebriti itu ditahan pada 3 Jun lalu selepas disyaki melakukan amang seksual terhadap seorang pelajar perempuan berusia 17 tahun di sebuah hotel di Selangor.

Bagaimanapun, suspek dibebaskan dengan jaminan polis selepas diambil keterangan.

+ - reset