TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

BNM: Kawal inflasi sahaja tidak cukup, pembaharuan struktur perlu untuk atasi tekanan sara hidup

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 17 Jun – Bank Negara Malaysia (BNM) menegaskan bahawa pengawalan inflasi semata-mata tidak mencukupi untuk mengurangkan tekanan kos sara hidup rakyat, sebaliknya menuntut pembaharuan struktur yang menyeluruh bagi menangani isu pertumbuhan gaji yang tidak seiring dengan peningkatan harga barangan.

Timbalan Gabenor BNM, Datuk Marzunisham Omar berkata, meskipun kadar inflasi keseluruhan telah menurun hasil pengetatan dasar monetari yang tepat pada masanya, paras harga masih kekal tinggi, sekali gus menjejaskan kuasa beli isi rumah.

“Dari S1 2020 hingga S1 2025, Indeks Harga Pengguna (IHP) naik sebanyak 9.8 peratus manakala harga makanan dan minuman meningkat 17.5 peratus. Namun, gaji nominal sektor swasta hanya naik 7.9 peratus, menyebabkan gaji sebenar menurun 1.9 peratus,” katanya dalam sesi panel Simposium Sasana 2025, hari ini.

Menurutnya, wujud ketidaksepadanan antara produktiviti dan pertumbuhan gaji apabila produktiviti meningkat 7.4 peratus dari suku pertama 2022 hingga suku kedua 2025, tetapi gaji sebenar terus merosot.

Perlu lebih banyak pekerjaan berkemahiran tinggi

Marzunisham menyarankan tumpuan diberikan kepada pewujudan lebih banyak pekerjaan berkemahiran dan berpendapatan tinggi, yang hanya boleh dicapai melalui pelaburan berkualiti tinggi.

Katanya, walaupun Malaysia mencatat kelulusan pelaburan memberangsangkan pada 2023 dan 2024, serta peningkatan pekerjaan berkemahiran tinggi kepada 30 peratus daripada 25 peratus sebelum ini, masih terdapat jurang besar dalam pasaran pekerjaan.

“Antara 2022 dan 2023, kira-kira 260,000 graduan baharu memasuki pasaran kerja tetapi hanya 150,000 pekerjaan berkemahiran tinggi diwujudkan setiap tahun, menyebabkan kira-kira 36 peratus graduan bekerja dalam sektor berkemahiran sederhana atau rendah,” ujarnya.

Cadang semakan gaji minimum ikut kemahiran

Tambah beliau, beberapa negara telah melaksanakan kadar gaji minimum berbeza mengikut tahap kemahiran, satu model yang boleh dipertimbangkan Malaysia.

Beliau turut menyeru kerjasama lebih erat antara kerajaan, majikan, pekerja dan kesatuan dalam proses penetapan gaji agar tidak hanya bergantung kepada kuasa pasaran. – Media Telus

+ - reset