Berita Berita
Anwar tegaskan reformasi subsidi, cukai, fiskal, kesihatan jadi keutamaan demi selamatkan negara

KUALA LUMPUR, 17 Jun – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegaskan bahawa Malaysia tidak lagi mampu bergantung kepada pendekatan ekonomi lama yang tidak mampan, sebaliknya memerlukan reformasi menyeluruh dan berani meliputi sistem subsidi, percukaian, struktur fiskal serta penjagaan kesihatan.
Anwar berkata, reformasi struktur bukan lagi satu pilihan, sebaliknya kini menjadi kewajipan nasional demi menyelamatkan ekonomi negara dalam jangka panjang.
“Reformasi bukanlah satu kemewahan, ia adalah satu keperluan nasional. Kita tiada pilihan selain melaksanakannya untuk menyelamatkan ekonomi negara,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Simposium Sasana 2025 anjuran Bank Negara Malaysia (BNM) di ibu negara, hari ini.
Menjelaskan langkah rasionalisasi subsidi, Perdana Menteri menekankan bahawa dasar itu tidak dilakukan sewenang-wenangnya, sebaliknya berpaksikan keadilan ekonomi.
“Subsidi tidak salah jika disalurkan kepada mereka yang memerlukan. Tetapi subsidi untuk orang kaya dan warga asing yang tidak membayar cukai? Itu tidak adil dan membebankan fiskal negara,” tegasnya.
Beliau turut mengakui bahawa reformasi yang dijalankan mungkin tidak popular, namun penting untuk meletakkan asas ekonomi yang lebih mampan dan inklusif bagi masa depan negara.
Anwar turut menggesa institusi kewangan seperti BNM serta sektor perbankan untuk bukan sahaja menyokong reformasi fiskal, tetapi turut mendidik dan menerangkan keperluan perubahan ini kepada masyarakat.
“Kita perlukan kerjasama daripada institusi-institusi untuk bukan sahaja menyokong reformasi fiskal, tetapi juga memberi penerangan dan mendidik rakyat tentang keperluannya,” ujarnya.
Dalam ucapannya, Anwar turut menyentuh cabaran sistem kesihatan awam dan swasta, terutamanya berkaitan kos rawatan tinggi dan akses terhad untuk rakyat berpendapatan rendah.
“Ini bukan hanya isu ekonomi. Ini isu kesejahteraan nasional. Ramai rakyat tidak mampu mendapatkan rawatan kesihatan kerana kos yang tinggi,” katanya.
Bagi menangani isu ini, kerajaan akan menubuhkan Jawatankuasa bersama Kementerian Kewangan dan Kementerian Kesihatan untuk mencari penyelesaian menyeluruh demi memastikan rawatan kesihatan lebih mampu milik.
Langkah reformasi dalam sektor kesihatan termasuk peralihah kepada sistem penjagaan kesihatan berasaskan nilai; penetapan harga rawatan yang lebih telus; penggunaan teknologi kesihatan digital dan pelaksanaan insurans kesihatan asas mampu milik.
Dalam nada berseloroh, Anwar turut berkongsi pengalamannya dirawat di hospital kerajaan dan mengkritik pembelian peralatan mahal yang tidak digunakan secara optimum.
“Terdapat katil dibeli dengan harga ratusan ribu ringgit tetapi tidak digunakan dengan sebaiknya. Ini mencerminkan pembaziran yang perlu dielakkan,” katanya.
Perdana Menteri turut menegaskan bahawa sebarang usaha reformasi tidak akan berhasil sekiranya rasuah dan pembaziran terus berleluasa, sekali gus menggesa pengukuhan institusi kerajaan dan sektor swasta.
“Kita tidak boleh bercakap tentang reformasi jika rasuah dan pembaziran terus berleluasa. Kita mesti bina sistem yang telus dan bertanggungjawab,” tegasnya.
Mengulas mengenai cabaran geopolitik dan dasar perdagangan unilateral, Anwar berkata Malaysia tetap kukuh dengan komitmen terhadap integrasi ekonomi serantau menerusi ASEAN, selain memperkukuh hubungan dengan Amerika Syarikat, China dan Kesatuan Eropah.
“Ketahanan domestik dan serantau amat penting. Kita tidak boleh hanya bergantung kepada satu kuasa besar,” katanya.
Anwar turut mengumumkan pelancaran Digital Asset Innovation Hub, yang bertujuan mempercepat penggunaan teknologi kewangan seperti mata wang digital dan sistem pembayaran boleh atur.
“Kita perlu seimbangkan antara inovasi dan pematuhan risiko. Ini bukan mudah, tetapi penting untuk ekonomi masa depan,” katanya.
Anwar menutup ucapannya dengan menyeru kerjasama semua pihak termasuk media dan masyarakat sivil dalam menjayakan agenda reformasi nasional.
“Jangan kita hanya tunggu laut yang tenang. Belajarlah untuk belayar dalam badai dengan lebih cekap,” katanya sambil menyifatkan agenda reformasi sebagai perjuangan demi generasi masa depan.
Berita berkaitan
June 17, 2025, 3:59 pm
Jumlah hari sekolah kekal tiap tahun, NUTP nafi guru tak sempat tamat silibus
June 17, 2025, 3:44 pm
Maszlee dakwa jemputan ucaptama di IPTA dibatalkan kerana tiada tauliah agama
June 17, 2025, 3:43 pm
'Bukan mudah tinggalkan NRES' - Nik Nazmi kekal letak jawatan
June 17, 2025, 3:07 pm
Penyanyi Sheqal meninggal dunia
June 17, 2025, 2:37 pm
Akta 652 bakal digubal, TVET diangkat setaraf PHD - Steven
June 17, 2025, 11:38 am
'Tiada keperluan rombak Kementerian Ekonomi, selamat maju jaya Rafizi' - Anwar
June 17, 2025, 11:02 am