TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

'Bukan mudah tinggalkan NRES' - Nik Nazmi kekal letak jawatan

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR, 17 Jun – Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad, tetap dengan pendiriannya untuk meletak jawatan, berkuat kuasa 4 Julai ini, walaupun mengakui bukan mudah untuk meninggalkan kementerian yang diterajuinya sejak dua tahun lalu.

Dalam satu hantaran di laman sosialnya hari ini, Ahli Parlimen Setiawangsa itu menyifatkan pasukan di Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) serta agensi-agensi di bawahnya telah membentuk satu ‘dream team’ yang komited dan berwibawa.

"Selepas dua tahun, saya anggap pasukan di NRES, jabatan dan agensi sudah mencapai tahap ‘dream team’ – dengan komitmen, kebolehan dan kewibawaan yang luar biasa.

"Namun, keputusan saya buat ini adalah untuk perkiraan lebih besar. Mandat parti adalah penting untuk reformasi luas. Memang saya ada pilihan untuk kekal tetapi pilihan saya adalah untuk letak jawatan," katanya.

Nik Nazmi turut berkongsi perbualannya bersama Pengerusi Malaysian Green Technology and Climate Change Corporation (MGTC), Shareen Abdul Ghani, yang mengunjunginya minggu lalu di pejabat NRES sewaktu beliau sedang mengemas barang.

Menurutnya, Shareen bertanya sama ada terdapat kemungkinan untuk beliau mempertimbangkan semula keputusan itu.

“Saya cuma tersenyum dan memandang ke sekeliling pejabat. Shareen mengikut pandangan mata saya – melihat rak-rak kosong yang sebelum ini sarat dengan buku, dinding-dinding kosong yang pernah digantung pelbagai gambar, lukisan dan jersi.

"Beliau faham dengan keputusan saya. Saya pesan kepadanya untuk menjaga MGTC baik-baik,” katanya.

Nik Nazmi turut mengimbau lawatan terakhirnya ke MGTC beberapa bulan lalu bagi menjawab kegusaran kakitangan mengenai masa depan agensi itu secara terbuka.

“Berbincang dengan Shareen, Amin Ramli dan Datuk Dr Ching Thoo, Ketua Setiausaha NRES, kami rasakan penting untuk menjawab isu-isu ini secara jujur dan terbuka.

"Semoga MGTC terus menerajui implementasi agenda perubahan iklim ke arah matlamat Sifar Bersih 2050,” katanya.

Menutup kenyataannya, beliau memetik kata-kata bekas Pengurus Liverpool, Jürgen Klopp, sewaktu mengumumkan peletakan jawatan: “Saya sangat menyayangi segala-galanya mengenai kelab itu, tetapi tetap perlu mengambil keputusan ini.”

“Itulah perasaan saya,” kata Nik Nazmi.

Nik Nazmi mengumumkan peletakan jawatannya pada 28 Mei lalu, hanya beberapa jam selepas Datuk Seri Rafizi Ramlimengumumkan pengunduran diri sebagai Menteri Ekonomi berkuat kuasa 17 Jun.

Kedua-dua peletakan jawatan berlaku dalam tempoh yang hampir serentak, mencetuskan pelbagai spekulasi politik dan pentadbiran.

 

+ - reset