TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Kes tembak di Cheras, Brickfields bukan gambaran KL tidak selamat – Polis

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 17 Jun - Dua insiden tembak mati yang berlaku di Cheras dan Brickfields dalam tempoh empat hari baru-baru ini tidak seharusnya dijadikan gambaran bahawa ibu negara berada dalam keadaan tidak selamat.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa, menjelaskan bahawa siasatan awal mendapati kedua-dua kejadian berpunca daripada perseteruan antara suspek dan mangsa yang berlaku di luar wilayah Kuala Lumpur.

Menurut beliau, insiden tembak di hadapan sebuah kompleks beli-belah di Jalan Loke Yew, Cheras, tengah malam tadi dipercayai berkait dengan aktiviti penyeludupan di Sibu, Sarawak.

Sementara itu, kes tembakan yang mengorbankan seorang lelaki dan mencederakan dua individu lain di Brickfields pada malam Jumaat lalu, dipercayai berpunca daripada konflik jenayah yang berlaku di Selangor.

“Ingin saya tegaskan bahawa semua kes-kes jenayah tembak yang berlaku ini adalah akibat masalah yang berlaku di luar kontinjen Kuala Lumpur dan dibawa ke sini,” katanya.

Tambah Rusdi, dua mangsa dalam kejadian di Cheras dikenal pasti mempunyai rekod jenayah dan baru tiba dari Sibu atas urusan peribadi.

“Seperti kes tembak di Cheras, tengah malam tadi, kedua-dua mangsa yang didapati mempunyai rekod jenayah baru tiba dari Sibu, Sarawak, dan datang ke mari (Kuala Lumpur) atas urusan peribadi.

“Berkemungkinan, pada masa sama mereka ini sememangnya diekori oleh seteru atau pihak yang tidak berpuas hati atau mempunyai dendam sebelum mencari masa dan waktu sesuai untuk menembak mati mereka,” katanya.

Dalam kes di Brickfields pula, Rusdi berkata, mangsa utama diserang selepas dibebaskan dari tahanan reman yang berkait dengan kes di Selangor.

“Kes ini membabitkan masalah di Selangor, namun musuh mereka mencari masa yang sesuai untuk menembak mati mangsa ketika dia berada di restoran di Jalan Tun Sambathan, di sini.

“Malah mangsa yang ditembak juga didapati datang ke restoran berkenaan selepas dia dibebaskan dari tahanan reman akibat kes di Selangor,” katanya.

Polis Kuala Lumpur kini giat memburu suspek dalam kedua-dua kes dan menyiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Rusdi turut memberi jaminan bahawa keselamatan dan ketenteraman awam sentiasa menjadi keutamaan pihak polis.

“Saya berharap masyarakat akan terus bekerjasama dan berkongsi maklumat dengan pihak Polis Kuala Lumpur dalam membanteras sebarang aktiviti jenayah serta sebarang pelakuan yang boleh memudaratkan keselamatan dan ketenteraman awam.

“Keselamatan anda dan ketenteraman awam sentiasa menjadi keutamaan kami warga Polis Kuala Lumpur,” katanya.

 

+ - reset