TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

JMG Perak sahkan gegaran pagi tadi bukan akibat letupan kuari

By
|
Kongsi
image

IPOH 18 Jun – Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) Perak mengesahkan gegaran dan bunyi letupan yang dilaporkan berlaku sekitar jam 10.30 pagi tadi bukan berpunca daripada sebarang aktiviti letupan kuari.

Pengarah JMG Perak, Nizarulikram Abdul Rahim berkata, aktiviti letupan kuari hanya dibenarkan dijalankan antara jam 12 tengah hari hingga 5 petang setiap hari Isnin hingga Jumaat.

“Berhubung kejadian gegaran yang dilaporkan berlaku sekitar 10.30 pagi tadi, hasil semakan JMG Perak menunjukkan tiada aktiviti letupan kuari berlaku dalam tempoh tersebut.

“Aktiviti letupan kuari tidak dibenarkan di luar waktu yang telah ditetapkan,” katanya kepada Bernama.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad memaklumkan pihak polis sedang menyiasat dakwaan orang awam mengenai bunyi letupan dan gegaran yang berlaku di sekitar daerah Ipoh pagi tadi.

Menurut beliau, Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin akan mengeluarkan kenyataan rasmi sekiranya terdapat maklumat atau laporan lanjut mengenai kejadian berkenaan.

Untuk rekod, pada 21 Oktober tahun lalu, satu gegaran kuat turut dirasai di beberapa kawasan sekitar bandar raya ini termasuk Tasek, Stadium Perak, Meru, Falim, Manjoi, Chemor dan Sungai Siput sekitar jam 11.06 pagi, yang disusuli dengan dentuman kuat. – Media Telus.

+ - reset