TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Makin ramai pesara, penjawat awam di Kelantan jadi mangsa 'phone scam' - Polis 

By
|
Kongsi
image

KOTA BHARU 18 Jun – Golongan pesara dan penjawat awam berusia 40 tahun ke atas dikenal pasti sebagai kumpulan paling ramai menjadi mangsa penipuan dalam talian, khususnya kes jenayah ‘phone scam’ di Kelantan.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, suspek dalam jenayah komersil itu dipercayai berjaya meyakinkan mangsa sehingga mereka panik dan sanggup menyerahkan maklumat perbankan serta sejumlah wang, meskipun tiada unsur pukau dikesan dalam kejadian tersebut.

“Perkara itu berlaku kerana suspek berjaya menyakinkan mangsa sehingga menyebabkan mangsa takut dan sanggup menyerahkan kad bank dan wang.

“Kejadian itu membuktikan bahawa masyarakat masih belum sedar dengan kes penipuan siber terutama membabitkan ‘phone scam’ yang mencatatkan kes tertinggi iaitu 149 kes dengan kerugian RM4.2 juta,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Perhimpunan Bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut memaklumkan bahawa dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini, sebanyak 601 kes jenayah komersil dilaporkan di negeri itu dengan jumlah kerugian mencecah RM14.1 juta.

“Kes jenayah siber dan multimedia adalah paling banyak direkodkan iaitu sebanyak 401 kes dengan nilai kerugian RM7.47 juta berbanding 265 kes dengan kerugian RM5.19 juta pada tahun sebelumnya.

“Peningkatan sebanyak 70 peratus jenayah siber dan multimedia itu termasuk phone scam, e-dagang, tipu tawaran kerja, serta love atau parcel scam,” ujarnya.

+ - reset