TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Kerajaan peruntuk RM20 juta naik taraf sekolah dalam kem tentera

By
|
Kongsi
image

PUTRAJAYA 18 Jun – Kerajaan bersetuju memperuntukkan sebanyak RM20 juta bagi kerja menaik taraf 30 buah sekolah yang terletak dalam kawasan kem tentera di seluruh negara.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, sekolah-sekolah berkenaan tidak ditadbir oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), sebaliknya berada di bawah pengurusan langsung Kementerian Pertahanan.

“Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan peruntukan RM20 juta akan diberikan kepada Kor Kejuruteraan Tentera untuk membantu menaik taraf fasiliti sekolah-sekolah dalam kawasan kem tentera.

“Memandangkan sekolah-sekolah ini bukan di bawah jagaan KPM tetapi Kementerian Pertahanan, kita percaya peruntukan ini akan membantu menyelesaikan beberapa isu kemudahan yang dihadapi,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat pasca Jemaah Menteri di sini, hari ini.

Sabtu lalu, Perdana Menteri mengumumkan beberapa peruntukan baharu melibatkan projek di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut, demi kesejahteraan warga pasukan keselamatan.

Antara yang diumumkan ialah peruntukan sebanyak RM65 juta bagi pembinaan kompleks klinik pakar dan naik taraf Hospital Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di pangkalan berkenaan.

Anwar turut mengumumkan peruntukan khas untuk menaik taraf 34 sekolah di kem-kem keselamatan dan pangkalan tentera, termasuk kemudahan tandas dan makmal bagi keselesaan anak-anak anggota pasukan keselamatan. – Media Telus.

+ - reset