TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

SST: Apa akan jadi dengan nasib rumah ibadat? - Sivakumar

By
|
Kongsi
image

Oleh NUR LELA ZULKIPLI

KUALA LUMPUR, 18 Jun – Cadangan penstrukturan semula sistem Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) oleh Kerajaan MADANI yang bakal berkuat kuasa 1 Julai ini terus mencetuskan pelbagai reaksi, kali ini membabitkan suara komuniti agama.

Perkara itu disuarakan Presiden Majlis Kuil-Kuil Hindu dan Persatuan-Persatuan Agama Hindu Malaysia (MAHIMA), Datuk N Sivakumar yang menyeru agar kerajaan mempertimbangkan pengecualian cukai perkhidmatan ke atas projek pembinaan rumah-rumah ibadat.

Menurut beliau, peluasan skop cukai perkhidmatan yang kini melibatkan enam kategori baharu, termasuk kerja-kerja pembinaan, memberi implikasi langsung kepada pembinaan rumah ibadat pelbagai agama.

“Rumah ibadat merupakan nadi kepada keharmonian masyarakat berbilang bangsa dan agama di negara ini. Ia bukan sahaja tempat beribadah, tetapi juga pusat perpaduan, kebajikan dan kesejahteraan komuniti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah beliau, meskipun kerajaan telah memberi jaminan bahawa barangan keperluan asas akan terus dikecualikan daripada cukai jualan, dan menetapkan nilai ambang lebih tinggi untuk pengenaan cukai ke atas kontraktor pembinaan (iaitu RM1.5 juta setahun), rumah-rumah ibadat tidak termasuk secara eksplisit dalam kategori ‘bangunan kediaman atau kemudahan awam’ yang dikecualikan.

“Saya menyeru agar pembinaan rumah-rumah ibadat turut diiktiraf sebagai sebahagian daripada ‘kemudahan awam’ atau sekurang-kurangnya diberi pengecualian cukai secara khusus,” jelasnya.

Beliau menegaskan, pengecualian itu bukan sekadar soal fiskal, sebaliknya mencerminkan sensitiviti kerajaan terhadap keperluan kerohanian rakyat yang selari dengan prinsip keadilan dan keterangkuman yang diangkat oleh Kerajaan MADANI.

“Mengecualikan pembinaan rumah ibadat daripada cukai perkhidmatan bukan hanya satu langkah ekonomi, tetapi satu keputusan moral yang mencerminkan keprihatinan kerajaan terhadap keharmonian rakyat,” ujarnya.

Sivakumar berharap Kementerian Kewangan akan meneliti cadangan tersebut dengan saksama demi memastikan dasar percukaian negara kekal adil serta tidak membebankan sektor yang memainkan peranan penting dalam pembinaan sosial dan perpaduan negara. - Media Telus

+ - reset