TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Najib dibenar hadir prosiding rayuan peguam negara berhubung titah adendum

By
|
Kongsi
image

PUTRAJAYA 18 Jun – Mahkamah Persekutuan membenarkan Datuk Seri Najib Razak hadir dalam prosiding rayuan Peguam Negara, Tan Sri Mohd. Dusuki Mokhtar berhubung isu titah adendum yang dijadual berlangsung pada 1 dan 2 Julai ini.

Keputusan itu dibuat selepas panel tiga hakim membenarkan permohonan peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah bagi mendapatkan perintah mengemukakan orang dalam penjara (OTP) supaya bekas Perdana Menteri dapat hadir ke mahkamah.

Permohonan tersebut tidak dibantah oleh Peguam Persekutuan, Ainna Sherina Saipolamin.

Panel hakim yang diketuai Hakim Besar Malaya, Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim bersama Datuk Zabariah Mohd. Yusof dan Datuk Hanipah Farikullah membenarkan permohonan itu dan memerintahkan OTP dikeluarkan terhadap Najib.

Pada 28 April lalu, panel sama turut membenarkan rayuan Mohd. Dusuki terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang memerintahkan semakan kehakiman Najib dikembalikan ke Mahkamah Tinggi untuk dibicarakan.

Rayuan itu mengandungi tujuh persoalan undang-undang yang dikemukakan oleh Peguam Negara dan diterima mahkamah atas alasan melibatkan isu kepentingan awam yang belum pernah diputuskan sebelum ini.

Mahkamah turut menetapkan tarikh perbicaraan pada 1 dan 2 Julai ini memandangkan isu yang dibangkitkan memberi kesan langsung kepada pihak Peguam Negara dan Najib sendiri.

Terdahulu, pada 6 Januari lalu, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan membenarkan Najib mencabar kewujudan titah adendum yang didakwa diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 bagi membolehkannya menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah.

Najib memfailkan semakan kehakiman untuk memaksa kerajaan dan enam pihak lain mengesahkan kewujudan titah tersebut.

Selain itu, beliau turut memfailkan prosiding menghina mahkamah terhadap bekas Peguam Negara, Tan Sri Ahmad Terrirudin Mohd. Salleh (kini Hakim Mahkamah Persekutuan) berhubung pertikaian berkaitan isu titah tersebut.

Awal minggu ini, Muhammad Shafee turut membuat laporan polis bagi pihak Najib terhadap Ahmad Terrirudin.

Najib kini menjalani hukuman penjara enam tahun sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Beliau memfailkan petisyen pengampunan diraja pada 2 September 2022, sebelum Lembaga Pengampunan mengurangkan hukuman penjaranya daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala dendanya dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta. – Media Telus.

+ - reset