TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Polis jamin tahap keselamatan Kuala Lumpur masih terkawal

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 18 Jun – Meskipun dua kes tembakan terbuka dilaporkan dalam tempoh empat hari di Brickfields dan Cheras baru-baru ini, pihak polis memberi jaminan bahawa tahap keselamatan di ibu negara masih terkawal dan aman.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, kedua-dua insiden tersebut dipercayai berpunca daripada perseteruan dan mempunyai sasaran tertentu.

“Seperti yang dinyatakan oleh Ketua Polis Kuala Lumpur sebelum ini, kedua-dua kejadian dipercayai berlaku disebabkan perseteruan dan bukan tembakan rambang. Ia mempunyai motif tertentu.

“Justeru, orang ramai tidak perlu bimbang kerana tahap keselamatan di sekitar ibu negara masih terkawal,” katanya pada Rabu.

Beliau menegaskan, pihak polis melalui Kontinjen Kuala Lumpur bersama pelbagai elemen lain akan terus mempertingkatkan kawalan keselamatan dan menggiatkan operasi untuk menjamin keselamatan awam.

“Kuala Lumpur masih selamat dan polis akan terus memastikan masyarakat berada dalam keadaan terjamin,” ujarnya.

Razarudin turut menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian tersebut agar tampil membantu siasatan polis.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan dua kejadian tembakan berlaku dalam masa empat hari yang dipercayai berpunca daripada persengketaan antara suspek dan mangsa.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa memaklumkan bahawa kedua-dua kes jenayah itu melibatkan isu yang berlaku di luar Kontinjen Kuala Lumpur tetapi dibawa ke ibu negara.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati kejadian tembakan yang membabitkan dua lelaki di hadapan sebuah kompleks beli-belah di Jalan Loke Yew, Cheras, tengah malam Selasa, dipercayai berkait dengan aktiviti penyeludupan di Sibu, Sarawak.

Sementara itu, insiden tembakan di Brickfields pada Jumaat lalu pula dipercayai berpunca daripada konflik jenayah yang berlaku di Selangor. – Media Telus.

+ - reset