TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Anwar mahu penyelesaian segera isu dadah dan vape dalam kalangan remaja

By
|
Kongsi
image

 

PUTRAJAYA 18 Jun – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu isu penyalahgunaan dadah dan rokok elektronik (vape) yang semakin membimbangkan dalam kalangan generasi muda dibincangkan secara menyeluruh dan diselesaikan segera.

Beliau berkata, masalah itu sudah berlarutan sejak sekian lama namun masih belum menemui penyelesaian yang benar-benar berkesan meskipun pelbagai inisiatif telah dilaksanakan.

"Kita lihat orang Melayu ini (masalah) dadahnya berat, tadi mesyuarat Jemaah Menteri kita bincang masalah dadah dan vape dalam kalangan anak-anak kita, tolonglah bincang, carilah jalan kaedah mana pun.

"Apakah perlu dana? Apakah perlu kaunseling? Perlu dakwah? Beritahulah kerana berpuluh tahun kita fikir (masalah ini) belum selesai.

"Betul ada anak Cina, anak India ramai juga dalam kalangan mereka, tetapi lebih parah dalam kalangan anak Melayu, membunuh jiwa mereka dari kecil. Kenalah lakukan sesuatu, kena bincang," katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Seminar Kenegaraan Malaysia MADANI: Guru Pemangkin Patriotisme Negara di Putrajaya semalam, yang turut dihadiri Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Anwar turut mengakui bahawa masih banyak cabaran negara yang belum berjaya ditangani sepenuhnya, termasuk isu kemiskinan dan pendidikan.

"Saya tahu saya belum dapat selesaikan masalah kemiskinan rakyat, belum lagi dapat naikkan mutu pendidikan, saya belum lagi berhasil untuk mengangkat martabat bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu yang cemerlang, saya belum dapat mengembangkan dakwah Islam dan kesedaran Islam dalam kalangan pelajar.

"Sebab itu di sekolah selain daripada pengenalan buku mengenai cara dakwah yang bijaksana, jangan terlalu keras, jangan terlalu hukum, jangan terlalu cepat menghina orang, jangan terlalu cepat mengkafirkan orang, itu yang kita mulakan," katanya.

Sementara itu, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil memaklumkan bahawa kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana platform dalam talian atau individu yang menjual produk terlarang seperti dadah dalam cecair vape.

Beliau berkata, satu mesyuarat akan diadakan dalam masa terdekat bersama Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali bagi memperkemas aspek penguatkuasaan terhadap isu berkenaan.

+ - reset