TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

10,000 banduan akan sertai industri kritikal, kurang kebergantungan kepada pekerja asing – Saifuddin

By
|
Kongsi
image

 

BENTONG 19 Jun - Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyasarkan seramai 10,000 banduan akan terlibat dalam pelbagai industri kritikal sepanjang tahun ini sebagai usaha menyokong sektor pembuatan, perkhidmatan, perladangan dan pembinaan yang berdepan kekurangan tenaga kerja tempatan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, inisiatif tersebut bukan sahaja mampu mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing, malah membantu menangani isu kesesakan penjara serta menurunkan kos operasi institusi berkenaan.

“Melalui kolaborasi antara Jabatan Penjara dan sektor swasta, pelbagai inisiatif industri penjara berjaya menjana pendapatan dan pada masa sama melatih banduan dengan kemahiran bernilai tinggi.

“Inisiatif ini menunjukkan bahawa institusi penjara kini berfungsi bukan sekadar tempat tahanan, malah menjadi platform pembentukan semula jati diri serta pembangunan kemahiran tenaga kerja tempatan yang kompeten,” katanya.

Ucapan beliau dibacakan oleh Pemangku Pengarah Penjara Pahang, Timbalan Komisioner Penjara Suhaizak Ab Wahab sempena Majlis Sambutan Hari Penjara Ke-235 Peringkat Penjara Pahang, di sini hari ini.

Saifuddin turut menekankan bahawa kejayaan industri fabrik yang dikendalikan oleh banduan telah mendapat pengiktirafan antarabangsa daripada beberapa negara, sekali gus membuktikan Malaysia berada di landasan tepat dalam reformasi institusi pemulihan.

Menurut beliau, pelaksanaan program seperti Pemulihan Dalam Komuniti (PDK), Perintah Kehadiran Wajib (PKW), Pelepasan Banduan Secara Berlesen (PBSL) dan Corporate Smart Internship (CSI) turut memberi kesan positif dalam mengurangkan kadar pengulangan jenayah dalam kalangan bekas banduan.

“Langkah ini bukan sekadar menyediakan peluang kedua, tetapi juga memperkukuh nilai sosial dalam kalangan mereka yang telah insaf,” katanya.

Mengulas cabaran kesesakan penjara, beliau berkata pelbagai strategi sedang digerakkan termasuk pembinaan penjara baharu, menaik taraf kemudahan sedia ada dan penggunaan teknologi digital serta kecerdasan buatan (AI) dalam pengurusan banduan.

Kerajaan juga sedang memperluas skop program parol dan PKW dengan memberi tumpuan kepada banduan berisiko rendah agar mereka dapat menyumbang semula kepada masyarakat.

Dalam masa sama, katanya, kajian reformasi hukuman mandatori sedang dilaksanakan menerusi jawatankuasa khas pembaharuan undang-undang, selain penekanan terhadap pengurusan banduan rentan seperti warga emas, pesakit kronik, pesakit mental dan orang kelainan upaya (OKU).

“Keseluruhan pendekatan ini adalah sebahagian daripada agenda pemulihan menyeluruh yang mendukung prinsip keadilan, kemanusiaan dan peluang kedua,” tambahnya.

+ - reset